IPOH- Menteri Besar Perak, Dato’ Saarani Mohamad meminta kerjasama dari syarikat swasta dan  Syarikat Berkaitan Kerajaan (GLC) supaya mendaftar dengan SiverVax bagi mendapatkan vaksinasi untuk kakitangan mereka.

Beliau berkata, saranan ini bukanlah bertujuan untuk kepentingan perniagaan tetapi untuk mempercepatkan pencapaian imuniti kelompok bagi membendung penularan wabak Covid-19 sekarang ini.

“Inisiatif ini dilihat penting bagi membantu mengurangkan penularan wabak di tempat kerja sekaligus dapat memperkuat dan melindungi rakyat Perak serta memulihkan semula sektor ekonomi negeri.

“Menerusi program SilverVax ini, setakat 4 Ogos 2021, seramai 564 kakitangan telah menerima vaksin dari beberapa syarikat swasta berlainan industri yang telah membuat pendaftaran awal sejak beberapa minggu lalu.

“Saya menyeru kepada majikan-majikan syarikat perniagaan di negeri Perak untuk membuat pendaftaran kakitangan mereka secara serentak bagi memberi perlindungan sebaiknya kepada rangkaian operasi mereka sekaligus membantu meningkatkan jumlah vaksinasi,” katanya pada media sempena lawatan beliau ke Program SilverVAx, Hospital Ar-Ridzuan baru-baru ini.

Program SilverVax adalah program vaksinasi COVID-19 berbayar melalui kerjasama Majuperak Holdings Bhd dengan Hospital Ar-Ridzuan sebagai rakan panel kesihatan serta Pharmaniaga Berhad sebagai pembekal vaksin jenis SinoVac.

Menurut Saarani pihak Majuperak Holdings Bhd  juga merancang untuk melakukan proses vaksinasi di Bazar Ipoh yang akan melibatkan kapasiti pemberian vaksin sebanyak 600 orang sehari atau 18,000 orang sebulan.

“Disebalik jumlah sasaran yang tinggi, harus diingatkan bahawa SilverVax ini tidak direka untuk menggantikan Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK) atau Program Imunisasi Industri COVID-19 Kerjasama Awam-Swasta (PIKAS) tetapi sebagai cara untuk menyokong usaha mempercepat kadar vaksinasi dalam kalangan penduduk Malaysia dan warga Perak.

Pihak Perbadanan Kemajuan Negeri Perak (PKNPk) sebagai Agensi Penyelaras Program Vaksin Perak akan sentiasa berhubung dengan pihak Kerajaan Negeri Perak dan CITF Kebangsaan bagi memastikan program dapat berjalan dengan lancar dengan mengikut garis panduan yang ditetapkan,” tegasnya.