IPOH – Duta Besar Indonesia ke Malaysia, Hermono menzahirkan ucapan terima kasih kepada semua pihak di negeri ini yang tampil bekerjasama dalam membantu warga negaranya yang terkesan akibat Covid-19 dengan memberikan sumbangan pek makanan asas, barangan basah dan roti pada hari ini.

Menurutnya, pihak Kedutaan Besar Republik Indonesia (KBRI) di Malaysia juga telah menyumbangkan kira-kira 135,000 kotak makanan kepada warga negaranya di Malaysia yang terjejas teruk sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

“Kedutaan besar telah beri 135,000 pek makanan (di seluruh Malaysia) tapi belum lagi susu, pampers (lampin pakai buang) dan bantuan lain. Bagaimanapun, jumlah bantuan ini masih belum mencukupi kerana rakyat Indonesia ramai berada di Malaysia,” jelasnya.

Beliau berkata pada sidang media selepas menyampaikan sumbangan makanan daripada Econsave di bawah program Econsave Prihatin dengan kerjasama Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) Kongsi Rezeki dan Lions Club of Perak Silver State kepada kira-kira 200 penduduk Flat Panorama Lapangan Perdana di sini hari ini.

Sumbangan barangan makanan itu terdiri daripada pek makanan asas, ikan, jagung dan roti.

Hadir sama, Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Pembangunan Modal Insan, NGO dan Masyarakat Sivil Perak Razman Zakaria; Pengurus Besar Econsave Wilayah Utara 2, Chua Yong Chiang; Pengurus The Bojen Car Wash and Spa, Mohd Salorwadi Mohd Nor dan Presiden Lions Club of Perak Silver State, Dr Richard Ng.

Hermono berkata ada dalam kalangan warga Indonesia yang tidak dapat bekerja sejak beberapa bulan lalu hingga ada yang hidup terhimpit dan terputus bekalan makanan.

“Kita amat menghargai bantuan yang diberikan ini dan sekali lagi saya mengucapkan terima kasih kepada semua yang berpartisipasi (bekerjasama) dalam menyampaikan sumbangan pada hari ini,” ujarnya.