IPOH - Rata-rata pengusaha kedai makan di sekitar bandar raya Ipoh masih belum membenarkan pelanggan makan di premis mereka atau 'dine in' walaupun kerajaan telah membenarkannya mulai hari ini. 
 
Tinjauan Peraktastic di beberapa restoran mendapati premis mereka beroperasi seperti biasa dengan pelanggan hanya dibenarkan untuk membungkus makanan seperti sebelum ini. 
 
Pengurus restoran nasi kandar ayam merah atau lebih dikenali sebagai ‘nasi ganja' di Jalan Yang Kalsom di sini, Mohd Nihmathullah Syed Mustafa berkata, dia tidak mahu mengambil risiko dengan membenarkan pelanggan untuk makan di premis memandangkan kes Covid-19 masih belum menurun. 
 
"Setakat ini, kita masih tidak membuka restoran untuk dine-in tetapi masih menjual makanan secara bungkus kepada pelanggan. Kita juga sedang menunggu prosedur operasi standard (SOP) yang lengkap daripada kerajaan sebelum membenarkan pelanggan untuk makan di dalam premis demi keselamatan semua pihak," katanya. 
 
 
Sementara itu, Ahli Majlis Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) Datuk Mazlan Abd Rahman berkata, pengusaha restoran perlu memastikan pekerja wajib mendapatkan sekurang-kurangnya satu dos suntikan vaksin sebelum membenarkan pelanggan untuk makan di premis mereka. 
 
"Pada pandangan saya, apa yang paling penting adalah pengusaha dan pekerja restoran perlu mendapatkan suntikan vaksin. Justeru, saya memohon supaya kerajaan dapat mewajibkan perkara tersebut," ujarnya. 
 
Beliau berkata wabak Covid-19 seperti varian Delta dikatakan lebih pantas merebak dan perkara ini perlu dipandang serius oleh semua pihak. 
 
"Sehubungan itu, saya berharap bukan pelanggan sahaja yang telah dilengkapi dua dos vaksin malah pemilik dan pekerja restoran perlu melakukan perkara sama bagi mengurangkan risiko dijangkiti atau menularkan jangkitan kepada orang lain," jelasnya. 
 
Ahad lalu, kerajaan mengumumkan kelonggaran SOP dengan membenarkan individu yang sudah lengkap divaksin untuk 'dine-in' atau makan di restoran bermula Selasa.
 
Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dilaporkan berkata kebenaran ini hanya untuk mereka yang menetap di negeri yang sudah berada di bawah fasa dua Pelan Pemulihan Negara dan seterusnya.