IPOH - Prosedur Operasi Standard (SOP) di masjid dan surau seluruh negeri ini masih kekal seperti sebelum ini walaupun ada dalam kalangan jemaah yang sudah lengkap dua dos vaksinasi. 
 
Pengarah Jabatan Agama Islam Perak (JAIPk), Datuk Mohd Yusop Husin berkata, jemaah perlu mematuhi SOP yang ditetapkan iaitu wajib memakai pelitup muka, membawa sejadah sendiri dan sentiasa melakukan penjarakan sosial.
 
"Sehubungan itu, semua jemaah masjid dan surau diingatkan agar terus mengadakan solat hajat, bacaan Yasin dan doa tolak bala agar virus Covid-19 dapat dilenyapkan," katanya dalam satu kenyataan ringkas yang dihantar melalui aplikasi Whatsapp malam tadi.
 
Ahad lalu, Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin mengumumkan bahawa kerajaan membenarkan individu lengkap dua vaksin untuk menunaikan solat di masjid dan surau, bermula Selasa ini.
 
Kebenaran itu hanya untuk mereka yang sudah dua minggu atau 14 hari selesai melengkapkan vaksin Sinovac, Pfizer atau AstraZeneca atau selepas 28 hari selesai menerima vaksin satu dos, Johnson & Johnson dan CanSino.
 
Jemaah yang hadir untuk menunaikan solat mesti menunjukkan kepada petugas masjid dan surau sijil digital vaksinasi COVID-19 (digital certificate COVID-19 vaccination) yang menunjukkan bahawa individu itu sudah menerima vaksinasi lengkap.