IPOH- Menteri Besar Perak, Dato’ Saarani Mohamad menyeru rakyat agar menerapkan semangat patriotism yang tinggi bersempena bulan kemerdekaan ini.

Katanya, semangat patriotisme bukan sahaja menjadi ciri penting untuk bangsa yang merdeka, tetapi mampu membina kerukunan jitu dalam kalangan rakyat.

“Sempena Bulan Kebangsaan dan kempen Jalur Gemilang tahun ini, saya menyeru kepada seluruh lapisan rakyat untuk bersama-sama membangkitkan semangat patriotisme sebagai tanda solidariti kita dalam memerangi krisis Covid-19.

“Marilah kita bersama menyemarakkan sambutan Bulan Kebangsaan ini dengan mengibar jalur gemilang di rumah, di bangunan pejabat, bangunan perniagaan bahkan di kenderaan kita. Jalur Gemilang melambangkan kesetiaan dan kesatuan kita sebagai rakyat Malaysia,” katanya menerusi ucapan dalam Majlis Pelancaran Bulan Kebangsaan dan Kempen Kibar Jalur Gemilang di Bangunan Perak Darul Ridzuan, hari ini.

Majlis yang turut disiarkan secara langsung secara maya itu juga dihadiri Setiausaha Kerajaan Negeri, Ahmad Suaidi Abdul Rahim; Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan, Komunikasi Multimedia Negeri, Khairul Shahril Mohamed serta barisan Exco Kerajaan Negeri lain.

Bermula 1 Ogos 2021, lebih 10,000 Jalur Gemilang telah diedarkan secara serentak di seluruh Perak sempena Pelancaran Kempen Jalur Gemilang Peringkat Negeri Tahun 2021.

Kempen yang dijalankan secara norma baharu itu telah diadakan di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Pandu Lalu, Stadium Indera Mulia. Ia seiring dengan pelaksanaan Program Vaksinasi Peringkat Negeri Perak.

Saarani juga berkata, sempena sambutan Bulan Kemerdekaan ini  pelbagai program telah dirancang antaranya  Program Bicara Kemerdekaan secara atas talian dan Info on Wheels Merdeka 10 .

“Saya mengalu-alukan penyertaan semua dalam aktiviti pertandingan seperti Pertandingan Pidato Hari Kebangsaan, Keceriaan Bulan Kebangsaan, Kahoot-Kuiz Online, Bintang Patriotik Smule, Teka Silang Kata Online, Selebriti Merdeka PerakFM dan Kuiz Kemerdekaan PerakFM.

“Terima kasih kepada semua yang sentiasa mengikuti dan menyokong program-program yang telah disediakan ini untuk menyemarakkan lagi sambutan kemerdekaan negara kita,” katanya.