IPOH- Perak dijadualkan akan menerima 1,013,924  dos vaksin pada bulan Ogos dengan 150,720 sudah diterima setakat ini manakala selebihnya akan tiba secara berperingkat sepanjang bulan ini.

Menteri Besar Perak, Dato’ Saarani Mohamad berkata ini merupakan jumlah vaksin tertinggi berbanding 824,320 dos yang diterima sepanjang bulan lalu.

“Jika jumlah itu dapat dimanfaatkan sepenuhnya, Perak mampu mencapai syarat ketiga nilai ambang, iaitu kadar vaksinasi COVID-19 mencecah 40 peratus menjelang bulan September untuk beralih ke Fasa Tiga Pelan Pemulihan Negara (PPN).

“Bagaimanapun, faktor jumlah kes harian perlu diambil kira memandangkan untuk memasuki Fasa Tiga PPN, jumlah kes harian mestilah di bawah angka 300 kes bagi tujuh hari berturut-turut.

“Program vaksinasi Perak turut merekodkan pencapaian yang signifikan sepanjang minggu ini apabila jumlah suntikan harian menunjukkan peningkatan yang sangat baik,” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.

Perak merekodkan 31,923 suntikan harian pada 9 Ogos lalu dan jumlah itu bertambah menjadi 36,585 pada 11 Ogos dan terus meningkat pada kadar 39,703 pada 12 Ogos, iaitu kadar suntikan harian tertinggi setakat ini.

Setakat 13 Ogos 2021, seramai 982,784 atau 52.76 peratus penduduk negeri Perak yang berusia 18 tahun ke atas sudah menerima suntikan pertama manakala 630,240 atau 33.84 peratus telah mendapat suntikan dos kedua.