PARIT BUNTAR - Jabatan Bomba dan Penyelamat negeri Perak menjalankan gerakan mencari seorang lelaki yang dipercayai terjatuh dari atas Jambatan Sungai Kerian di Jalan Abdul Raof dekat sini.

Jurucakap Bilik Gerakan Jabatan Bomba dan Penyelamat negeri Perak berkata, operasi yang dimulakan malam tadi disambung hari ini.

Menurut jurucakap itu, seramai 37 anggota bomba terlibat termasuk anggota pelbagai agensi seperti polis, Angkatan Pertahanan Awam, Rela dan sukarelawan bomba.

Turut membantu ialah Pasukan Penyelamat Di Air, Unit K9 dan Pasukan Polis Marin.

"Pencarian mangsa ditumpukan pada jarak satu kilometer dari lokasi dia dipercayai terjatuh.

"Kita mengunakan kaedah pencarian pada permukaan sungai di lokasi kejadian dan melibatkan pasukan penyelam bomba," kata jurucakap tersebut.

Dalam kejadian kira-kira pukul 6.40 petang semalam, mangsa berumur 43 tahun itu dikenali sebagai Jasudass dikatakan terjatuh semasa berada di jambatan.

Operasi turut melibatkan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kuala Kurau, BBP Bagan Serai, BBP Nibong Tebal dan sukarelawan bomba Parit Buntar.

Operasi diketuai PBK I Ahmad Rossyed Isa yang juga Ketua BBP Parit Buntar.