IPOH – Peranan semua petugas barisan hadapan sama ada dalam lapangan kesihatan, keselamatan termasuklah pengurusan jenazah dan penghantaran makanan sangat besar semasa situasi pandemik ketika ini.

Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah menzahirkan penghargaan buat kelompok tersebut atas khidmat dan pengorbanan masing-masing.

Titah Baginda, kesemua petugas barisan hadapan memikul tanggungjawab berat luar jangka, menghadapi risiko jangkitan paling tinggi dan merupakan satu beban tanggungjawab yang tidak pernah terbayang perlu dihadapi oleh profesion masing-masing.

“Para doktor, jururawat, petugas kesihatan dan perubatan, pemandu ambulans, pemandu van jenazah dan penggali kubur serta pengurus rumah-rumah jenazah tiba-tiba dilanda tanggungjawab luar jangka.

“Begitu juga risiko besar yang dihadapi oleh penghantar makanan, petugas-petugas di kedai runcit, pasaraya dan farmasi, para pengendali pengangkutan awam, anggota pasukan keselamatan dan agensi-agensi berkaitan serta pegawai-pegawai awam di pelbagai jabatan yang mengendalikan pelbagai perkhidmatan penting.

“Mereka telah melaksanakan satu tugas fardhu kifayah yang wajib dihargai, semoga Allah swt menganugerahkan khidmat dan pengorbanan mereka dengan sebesar-besar ganjaran,” titah Bginda.

Sultan Nazrin bertitah demikian pada Perasmian Mesyuarat Pertama Tahun Keempat Dewan Undangan Negeri Ke-14 di sini hari ini.

Persidangan kali ini dapat dilangsungkan meskipun menghadapi penangguhan disebabkan Proklamasi Darurat yang meletakkan negara berada dalam darurat antara 11 Januari sehingga 1 Ogos.

Dalam pada itu, Baginda turut menzahirkan penghargaan buat warga pendidik yang menghadapi cabaran berat dalam perubahan landskap andragogi dan pedagogi secara digital terutama dalam Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) yang diperkenalkan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM).

“Beta menzahirkan penghargaan kepada warga pendidikan yang telah merintis segala usaha untuk memastikan murid-murid yang diamanahkan tanggungjawab ke atas bahu mereka, dapat diilmukan sebaik mungkin,” titah Baginda.