IPOH – Seramai 1,352 orang guru di Perak masih belum menerusi suntikan vaksin Covid-19 daripada jumlah keseluruhan warga pendidik negeri ini disebabkan masih belum menerima temujanji dan belum mendaftar.

Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Pengajian Tinggi dan Sumber Manusia negeri, Ahmad Saidi Mohamad Daud berkata, sehingga 29 Ogos seramai 36,238 daripada sejumlah 37,590 guru merangkumi sekolah rendah dan menengah telah divaksin.

Menurut beliau, bagi kumpulan guru Sekolah Tinggi Agama Malaysia (STAM), Vokasional, Tingkatan Lima dan Enam, seramai 9,426 telah divaksin manakala bakinya 258 orang masih belum mendaftar untuk divaksin dan masih menunggu temujanji divaksin.

“Kerajaan negeri melalui Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Perak akan terus menggandakan usaha untuk memastikan guru-guru ini akan menerima vaksin.

“Sekiranya perlu program-program seperti sesi kaunseling, webinar dan bengkel pengurusan dan kepentingan vaksin akan dianjurkan bagi mencapai tujuan ini,” katanya pada sesi sidang Dewan Undangan Negeri Perak di sini.

Dalam pada itu kata Saidi, kerajaan negeri juga menyambut baik cadangan Kementerian Pendidikan Malaysia agar murid yang akan menduduki peperiksaan awam diberi keutamaan untuk menerima vaksin.

“Kerajaan negeri juga telah menghantar surat pemakluman berkaitan isu ini bersandarkan keperluan bagi memastikan pelajar-pelajar ini sentiasa dilindungi dan seluruh ahli keluarga serta masyarakat juga turut dilindungi,” ujarnya.

Menerusi program Imunisasi Kebangsaan, pelajar yang berumur 12 hingga 17 tahun akan diberi keutamaan untuk pemberian vaksin bagi persediaan pembukaan sesi persekolahan bermula September ini.