IPOH - Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) komited dalam memastikan pembangunan Pelan Antirasuah Organisasi (OACP) MBI 2021-2025 dapat memacu Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) itu untuk melaksanakan segala proses penyampaian perkhidmatan dengan lebih sistematik, dinamik, efisien dan berintegriti. 

Datuk Bandar Ipoh, Datuk Rumaizi Baharin @ Md Daud berkata, seramai 40 Ahli Jawatankuasa Pembangunan OACP MBI 2021-2025 terbabit dalam pelan terbabit serta mendapat sokongan penuh semua Ketua Jabatan. 
 
Menurutnya, menerusi tiga siri Bengkel Pembangunan OACP yang dijalankan, sebanyak enam strategi, 13 objektif strategik dan 117 inisiatif bakal dilaksanakan dalam usaha menangani isu-isu yang wujud dalam enam bidang keutamaan. 
 
"Enam bidang keutamaan terbabit adalah tadbir urus; khidmat pengurusan; kewangan dan perolehan; perancangan dan pembangunan bandar raya; pelesenan dan penguatkuasaan dan perkhidmatan," katanya. 
 
Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis pelancaran Pelan OACP MBI 2021-2025 dan Ikrar Bebas Rasuah (IBR) yang diadakan secara langsung melalui siaran Facebook Live MBI, di sini, hari ini. 
 
Dalam perkembangan berkaitan Rumaizi berkata, sebagai memberi komitmen yang lebih jitu terhadap usaha membanteras isu rasuah dan penyelewengan kuasa, MBI turut melaksanakan IBR yang  disaksikan Pengarah Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Perak, Datuk Mohd Fauzi Mohamad. 
 
"Ikrar ini dilaksanakan kepada kumpulan-kumpulan berkepentingan dari semasa ke semasa yang akan diselaraskan oleh Unit Integriti kelak.
 
"Maka, inisiatif MBI untuk membangunkan seterusnya melancarkan pelan terbabit diyakini akan bertindak sebagai satu langkah ke depan yang lebih komprehensif dalam melahirkan anggota MBI yang berintegriti tinggi. 
 
"Di samping itu, inisiatif ini menyelaras dan memantau semua aktiviti berkaitan tadbir urus, integriti dan antirasuah. 
 
"Pada masa sama, MBI juga bertanggungjawab untuk merancang, menggubal strategi dan menilai dasar bagi memastikan urusan yang dilaksana berteraskan tadbir urus baik, integriti dan tiada toleransi kepada perbuatan rasuah," jelasnya yang turut mengucapkan terima kasih kepada Institut Integriti Malaysia (IIM) dalam memberi panduan dan sokongan bagi menyempurnakan pelan OACP ini.
 
Sementara itu, Mohd Fauzi mengucapkan syabas dan tahniah kepada MBI yang berjaya membangunkan pelan OACP. 
 
"MBI harus komited mendukung aspirasi berkenaan dan seterusnya membangunkan pelan antirasuah ini sebagai salah satu langkah kawalan dalaman. 
 
"Usaha MBI melaksanakan Pelan OACP untuk menangani risiko perlakuan jenayah rasuah dan pelanggaran integriti oleh warga kerjanya adalah langkah terbaik dalam memperkukuhkan kecekapan sistem penyampaian perkhidmatan MBI kepada masyarakat.
 
"Justeru, pelan OACP ini hendaklah dijadikan panduan kepada seluruh warga MBI bagi memperkukuhkan nilai jati diri daripada terjebak dengan jenayah rasuah serta pelanggaran integriti," jelasnya ketika berucap pada majlis pelancaran itu. 
 
Menyentuh IBR yang ditandatangani MBI, beliau berkata, tindakan itu jelas memperlihatkan keikhlasan, komitmen kerja dan keinginan untuk berkhidmat dalam suasana kerja yang kondusif dan bebas rasuah demi menjalankan tanggungjawab dan amanah kepada rakyat. 
 
"Aspirasi dan kesedaran ini patut dipuji dan harus menjadi ikutan serta contoh kepada seluruh MBI.
 
"Keterbukaan dan sifat kebertanggungjawaban yang dipamerkan MBI dalam menandatangani Ikrar terbabit membuktikan bahawa usaha membanteras dan memerangi rasuah bukanlah tanggungjawab eksklusif SPRM semata-mata, tetapi sebaliknya adalah amanah dan tugas yang perlu dikongsi oleh seluruh ahli masyarakat, khususnya dalam kalangan agensi kerajaan," ujarnya.