KANGAR - Sesi persekolahan secara bersemuka akan tetap dilaksanakan pada 3 Oktober ini kecuali di negeri-negeri yang masih berada dalam Fasa 1 Pelan Pemulihan Negara (PPN).

Pada masa ini negeri-negeri yang masih berada dalam Fasa 1 PPN ialah Kedah, Selangor, Johor, Kuala Lumpur dan Putrajaya.

Menteri Kanan Pendidikan, Datuk Radzi Jidin berkata, dakwaan sesetengah pihak yang menyifatkan pembukaan sesi persekolahan secara bersemuka terlalu lambat adalah tidak tepat.

Sebaliknya, tegas beliau, keputusan dibuat berdasarkan penelitian serta mengambil kira pertimbangan Kementerian Kesihatan (KKM) dan Majlis Keselamatan Negara (MKN).

"Saya ingin jelaskan bahawa bukan soal lambat tapi kita perlu penelitian, perlu ambil kira keadaan semasa.

"Berbeza apabila kita buka pada 24 Jun lalu, pada waktu itu kes tidak banyak, tapi vaksin tak ada, masyarakat kita tidak divaksinkan.

"Sekarang kes tinggi, tetapi kita lihat masyarakat telah divaksinkan dan faktor nilai ambang telah diambil kira selain merujuk juga pada PPN,” katanya.

Radzi berkata demikian pada sidang media selepas menyertai sesi libat urus bersama pihak pengurusan sekolah, guru dan Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) sekolah-sekolah negeri Perlis di sini.

Jelas, Radzi beberapa prosedur operasi standard (SOP) berkaitan sesi persekolahan juga akan diperketatkan.

Selain itu, beliau akan mengumumkan Pelan Komprehensif Pembukaan Semula Sekolah dalam masa terdekat.