SELAMA - Pembinaan Jajaran Lebuhraya Persisiran Pantai Barat (WCE) Seksyen 11 yang mengalami kelewatan akibat prestasi kontraktor yang tidak memuaskan telah diatasi.

Ia berikutan lantikan kontraktor baharu oleh pihak Lembaga Lebuh Raya Malaysia (LLM) dan memberi jaminan projek jajaran ini akan siap pada 2024.

Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur, Tenaga, Air, dan Pengangkutan Awam negeri Perak, Datuk Mohd. Zolkafly Harun berkata, turut diberi perhatian ialah
isu banjir kilat dalam kawasan Dewan Undangan Negeri Trong akibat projek WCE.

Menurut beliau, sebuah kolam enapan dan parit akan dibina bagi mengawal taburan hujan yang tinggi sekali gus mengelakkan kejadian berulang.

Menurut beliau, isu ini juga antara topik utama perbahasan semasa Sidang Dewan Negeri Perak pada Ogos lalu.

"Ini merupakan tindakan segera untuk memastikan semua agensi yang berkaitan libaturus mencari penyelesaian terhadap isu yang berbangkit.

"Pembinaan sebuah kolam enapan dan sesalur air bagi tujuan kawalan kelodak dan mengawal aliran air semasa hujan," ujarnya semasa melawat Pembinaan Jajaran WCE Seksyen 11 di sini semalam.

Hadir sama Pegawai Daerah Larut Matang dan Selama, Mohd. Akmal Dahalan dan Ahli Dewan Undangan Negeri Trong, Jamilah Zakaria.

Dalam lawatan ini juga, turut dicadangkan pembinaan satu pusat perniagaan kecil menjual hasil-hasil dan produk tempatan penduduk Trong dibina.

Kata Mohd. Zolkafly, ia akan dibina secara usahasama antara WCE dan kerajaan negeri sebagai tarikan kepada pengguna jajaran ini selain meningkat sosio ekonomi setempat.

"Impak WCE cukup besar dan perlu dimanfaat sebanyak mungkin oleh kerajaan negeri.

"Oleh itu, isu-isu yang berbangkit khususnya kesan yang buruk terhadap rakyat perlu diselesaikan segera sebelum projek ini siap sepenuhnya," ujar beliau.