BATU GAJAH - Semua pelajar dan warga maahad tahfiz di Perak telah menjalani saringan Covid-19 sekurang-kurangnya sekali dan ada yang telah memasuki saringan kali kedua sepertimana yang diarahkan Kementerian Kesihatan (KKM).

Pengerusi Persatuan Maahad Tahfiz Al-Quran Negeri Perak (PEMATAP), Mohd Azlan Suhaimi berkata, selain menjalani ujian saringan Covid-19, sebahagian besar maahad tahfiz juga telah menjalani proses nyah kuman. 

Menurutnya, seluruh maahad tahfiz di Perak berjumlah 116 buah telah mematuhi segala arahan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dari pihak Kerajaan Persekutuan dan Jabatan Agama Islam Perak (JAIPk). 

“Sehingga kini, tidak ada sebuah maahad tahfiz yang beroperasi dan jika ada sudah pasti pihak kerajaan membuat pemantauan yang cukup ketat.

“Pengurusan maahad tahfiz di Perak juga sedang menunggu apakah prosedur operasi standard (SOP) yang perlu dipatuhi apabila operasi dibenarkan semula oleh pihak kerajaan,” katanya dalam satu kenyataan media, hari ini. 

Sementara itu, Mohd Azlan memaklumkan pihaknya memandang serius terhadap tuduhan orang awam mengatakan seorang pelajar tahfiz dilaporkan positif Covid-19 berpunca daripada Pondok Tahfiz As Sharif, di Batu Gajah, seperti yang tular di media sosial.

Katanya, Pengetua Pondok, Ustaz Azizul Yahya telah menafikan tuduhan tersebut dan satu laporan polis telah dibuat. 

“Tuduhan sedemikian bukan sahaja boleh mencetuskan kebimbangan masyarakat setempat malah amat mengelirukan sehingga boleh menjejaskan nama baik maahad tahfiz berkenaan bahkan melibatkan seluruh maahad tahfiz di Perak khususnya dan negara amnya,” ujarnya. 

Mohd Azlan berkata, sikap pihak berkenaan yang terus berdiam diri dan tidak mahu mengakui kesilapan sekaligus telah memberi gambaran sikap prejudis kepada institusi tahfiz.

“Sikap tidak bertanggungjawab ini amat dikesali dan sewajarnya pihak berkenaan insaf dan memohon kemaafan secara terbuka," jelasnya.