IPOH - Seorang pekerja warga Indonesia maut selepas dihempap sisa runtuhan dinding rumah dalam kejadian yang berlaku di Taman Silibin Indah, dekat sini, petang semalam. 

Kejadian itu berlaku kira-kira satu jam selepas Exco Infrastruktur, Tenaga dan Air negeri, Datuk Zolkafly Harun membuat tinjauan keadaan kawasan tersebut yang mengalami gelongsoran tanah. 

Mangsa, Junaidi Razak, 40, disahkan meninggal dunia oleh petugas kesihatan di lokasi kejadian. 

Difahamkan mangsa sedang melakukan kerja pembersihan di salah sebuah rumah yang terjejas akibat insiden tanah runtuh baru-baru ini. 

Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak, Azmi Osman berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung insiden berkenaan pada jam 5.14 petang. 

"Sejurus selepas menerima panggilan itu, anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Meru Raya Ipoh bergegas ke lokasi kejadian.

"Ketika tiba di lokasi, kita mendapati ada runtuhan di bahagian dapur belakang rumah terbabit dan menemui seorang lelaki dengan bahagian kepala dan badan dihempap sisa runtuhan," katanya. 

Beliau memaklumkan sebelum ini memang berlaku runtuhan tanah yang menjejaskan struktur bahagian dapur rumah tersebut. 

"Ketika mangsa melakukan kerja pembersihan, berlaku runtuhan dinding lalu menghempap mangsa," jelasnya. 

Bomba mengambil masa lebih kurang lima minit untuk mengeluarkan mangsa dan menyerahkannya kepada polis untuk tindakan lanjut. 

Sementara itu, pemilik rumah, Moses James, 59, berkata ketika kejadian, dia sedang minum petang bersama pekerja lain di rumah tersebut.

"Ketika sedang berbual, tiba-tiba terdengar satu bunyi kuat dan saya terus berlari ke bahagian belakang sebelum melihat dinding sudah runtuh dan pekerja berkenaan berada di bawah runtuhan.

"Kami cuba meminta bantuan orang untuk mengeluarkan mangsa sebelum memanggil pasukan penyelamat," ujarnya. 

Beliau berkata, pekerja yang diupah itu baru melakukan kerja pembersihan berkenaan sejak tiga hari lalu.

Dalam perkembangan berkaitan, kerajaan negeri dijangka akan menyalurkan peruntukan khas bagi menangani kejadian gelongsoran tanah yang mengakibatkan lapan deretan rumah terjejas di taman berkenaan. 

Zolkafly berkata, perkara itu akan dibincangkan secara lebih mendalam dalam mesyuarat Exco kerajaan negeri, hari ini.

"Pejabat Tanah dan Daerah Kinta sudah memohon satu peruntukan khas kepada kerajaan negeri untuk mengambil tindakan sewajarnya bagi penstrukturan semula tanah di kawasan perumahan berkenaan," katanya.

Sebelum ini, media melaporkan lebih kurang 50 penduduk dari lapan keluarga di taman itu memohon supaya pihak berwajib menyelesaikan masalah tanah runtuh yang berlaku di belakang rumah mereka sejak tiga minggu lalu.