IPOH: Menteri Besar Perak, Datuk Saarani Mohamad mengetuai senarai penerima darjah, bintang dan pingat kebesaran sempena sambutan Ulang Tahun Keputeraan Ke-65 Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah hari ini.

Beliau dikurniakan Darjah Seri Paduka Mahkota Perak (SPMP) yang membawa gelaran Datuk Seri.

Penasihat Undang-Undang Negeri Perak, Azmir Shah Zainal Abidin pula menerima tunggal Darjah Paduka Cura Si Manja Kini yang membawa gelaran Datuk.

Seramai 13 orang menerima Darjah Dato’ Paduka Mahkota Perak (DPMP) yang juga membawa gelaran Datuk di samping empat penerima Darjah Dato’ Pahlawan Taming Sari (DPTS) yang membawa gelaran Datuk Pahlawan.

Orang Kaya Bendahara Seri Maharaja, Jeneral (B) Tan Sri Mohd Zahidi Zainuddin berkata, selain 19 orang penerima yang membawa gelaran Datuk Seri dan Datuk, terdapat 173 orang lagi penerima darjah, bintang dan pingat kebesaran lain.

Menurutnya, penerima Darjah Paduka Cura Si Manja Kini (PCM) seramai sembilan orang; Darjah Paduka Mahkota Perak (PMP) (23); Darjah Ahli Cura Si Manja Kini (ACM) (8); Darjah Ahli Mahkota Perak (AMP (44); Pingat Pekerti Terpilih (PPT) (47); Pingat Jasa Kebaktian (PJK) (33) dan Pingat Lama Perkhidmatan (PLP) (9).

Katanya, jumlah penerima tahun ini adalah terhad dan hanya mereka yang benar-benar layak serta memenuhi kriteria yang ditetapkan sahaja yang telah diperkenankan Sultan Perak.

“Pengurniaan darjah kebesaran dan pingat-pingat negeri Perak tahun ini juga adalah tertumpu kepada pasukan barisan hadapan yang telah banyak berkorban masa dan tenaga, untuk berjuang menentang dan mengekang penularan wabak pandemik Covid-19, terutamanya di negeri Perak.

“Pengurniaan ini diharapkan akan dapat menaikkan semangat serta moral pasukan barisan hadapan, dalam usaha mereka memastikan keselamatan rakyat negeri Perak dari jangkitan COVID-19,” katanya.

Istiadat penganugerahan darjah kebesaran dan pingat bagi siri pertama akan diadakan 14 November, di Balairong Seri, Istana Iskandariah, Kuala Kangsar.

Katanya, istiadat itu juga akan melibatkan penerima bagi tahun 2020, seramai 19 orang dan penerima bagi tahun 2021, juga 19 orang.


SENARAI PENERIMA DARJAH KEBESARAN NEGERI PERAK 2021

Darjah Seri Paduka Mahkota Perak (SPMP)
Menteri Besar Perak, Datuk Saarani Mohamad


Darjah Paduka Cura Si Manja Kini (DPCSM)
Penasihat Undang-Undang Negeri Perak, Azmir Shah Zainal Abidin

Darjah Dato’ Paduka Mahkota Perak (DPMP)
1.Pengarah Pendidikan Perak, Dr Mohd Suhaimi Mohamed Ali
2.Ketua Pengarah Jabatan Kimia Malaysia, Mohamed Zaini Abdul Rahman
3. Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri Perak (Pengurusan), Nor Sham Rahman
4. Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA), Arham Abdul Rahman
5. Pakar Perunding Pediatrik Hospital Raja Permaisuri Bainun, Dr. Jeyaseelan a/l P.Nachiappan.
6. Timbalan Ketua Pengarah Pengurusan Bahagian Penyelidikan Jabatan Perdana Menteri, Abd. Halim Ashaari
7. Pengarah Kastam Negeri Jabatan Kastam DiRaja Malaysia, Dr. Mohamad Saprin
8. Ketua Bahagian Neurologi Universiti Malaya, Prof. Dr. Goh Khean Jin
9. Pengarah & Pakar Perunding Psikiatri Kanak-Kanak dan Remaja
Hospital Bahagia Ulu Kinta, Dr. Norhayati Nordin.
10. Pengarang Kumpulan Berita Harian, Saidon Idris;
11. Pengarah Jabatan Perhutanan Negeri Perak, Datuk Mohamed Zin Yusop
12. Orang Besar Jajahan Bagan Datuk, Toh Seri Lela Paduka Prof. Dr Khalid Ismail
13. Ketua Protokol Dan Istiadat Negeri Perak, Toh Jana Pahlawan SAC (B) Abu Bakar Romlee.

Penerima DPTS
1. Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Perak, SAC Anuar Othman
2. Panglima Wilayah Laut 2, Laksamana Muda Rusli Ahmad
3. Ketua Staf Markas Pemerintahan Operasi Udara Markas, Mej. Jen. Felix Gonsalvez a/l Alexander
4. Pakar Perunding Bedah Ortopedik Hospital Angkatan Tentera Lumut, Brig. Jen. Dr. Musa Kasmin.