KUALA LUMPUR - Perang negara melawan pandemik Covid-19 mula menampakkan kejayaan walaupun kemenangan sebenarnya masih belum boleh diisytiharkan.

Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar semasa berucap dalam satu majlis di Kota Bharu, Kelantan menyeru rakyat agar terus mematuhi segala prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan.

Katanya, hanya dua negeri lagi masih berada pada Fasa Tiga Pelan Pemulihan Negara (PPN) iaitu Kelantan dan Sarawak berbanding negeri lain yang telah beralih ke Fasa Empat.

"Saya tahu rakyat sudah rasa gelisah tidak mahu pakai pelitup muka, malah penggunaan katil untuk pesakit Covid-19 ketika ini juga menurun kepada 40 peratus.

"Oleh itu, jika kita terus patuh SOP, sama-sama berjuang melawan Covid-19 dan menghargai jasa petugas barisan hadapan, kita boleh menang," katanya.

Beliau berucap pada majlis Penyerahan Projek Klinik Kesihatan di Penambang, Kota Bharu hari ini.

Semalam, Perak selain Perlis, Pulau Pinang, Sabah dan Kedah beralih daripada Fasa Tiga ke Fasa Empat PPN bermula Isnin ini.

Ia selepas mengambil kira penilaian risiko semasa yang dilaksana oleh KKM dan Majlis Keselamatan Negara (MKN).