IPOH – Tidak berminat dengan tawaran kerja, tidak hadir sesi temuduga selain kurang kemahiran komunikasi antara sebab-sebab pencari kerja yang dibantu oleh Pusat Aspirasi Anak Perak (PASAK) tidak dapat ditempatkan dalam program penempatan pekerjaan yang dijalankan.

PASAK merupakan agensi kerajaan negeri yang memfokuskan pada pembangunan sumber manusia khususnya golongan sasar yang terjejas khususnya dalam kalangan penggangur sedia ada, belia, graduan, lepasan sekolah dan pekerja yang diberhentikan.

Selain dua faktor tadi, turut dikesan sebagai faktor ialah had umur, pengalaman kerja yang tidak berpadanan dengan jawatan yang ditawarkan, serta gaji yang ditawarkan tidak setimpal dengan kelulusan.

Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Pengajian Tinggi dan Sumber Manusia negeri, Ahmad Saidi Mohamad Daud berkata, bagaimana pun sejak Mei tahun lalu hingga September lepas. PASAK telah membantu seramai 1,251 orang pencari kerja untuk ditempatkan dalam industri.

Menurut beliau, jumlah ini termasuklah pekerja-pekerja yang diberhentikan akibat daripada penutupan kilang atau syarikat akibat pandemik Covid-19, graduan serta kumpulan penggangur sedia ada.

“PASAK setelah melalui penstrukturan semula telah melaksana beberapa program dibawah kerangka pelan pemulihan bagi membantu kumpulan sasaran pekerjan yang telah diberhentikan akibat daripada pandemik Covid-19.

“Walaupun dalam susana perintah kawalan pergerakan (PKP), PASAK telah mengambil inisiatif untuk menganjurkan program-program kerjaya secara atas talian dimana hampir 70 peratus program yang dilaksana adalah secara online. Sepanjang tahun ini PASAK telah melaksanakan 65 program,” ujarnya pada Sidang DUN di sini.

Beliau berkata demikian semasa menjawab soalan lisan ADUN Slim, Mohd. Zaidi Aziz berhubung keberhasilan program-program mendapat kerja kelolaan PASAK bagi membantu golongan terkesan disebabkan pandemik.

Dalam tempoh Januari sehingga September lalu kata AhmadSaidi, PASAK telah menganjurkan 14 program kerjaya yang meliputi karnival kerjaya secara maya, program moh kroje dan Perak Employibility Training Scheme (PERINTIS) dimana melalui program yang dijalankan ini, PASAK telah membantu seramai 113 pencari kerja untuk ditempatkan kedalam industri.

Katanya, kerajaan negeri telah memperkasakan program TVET melalui PASAK dengan memperkenalkan program latihan Modular Industri yang berkonsepkan ‘Place and Train’ pada tahun ini dalam meningkatkan peluang pekerjaan kepada mereka yang dilatih.

“Namun begitu, program latihan ini hanya dapat dilaksanakan bermula Oktober 2021 kerana mematuhi SOP yang dikeluarkan oleh Majlis Kesihatan Negara (MKN) yang tidak membenarkan sebarang bentuk latihan secara fizikal dilaksanakan.

“Untuk makluman, program latihan ini akan memberi manfaat kepada 840 orang peserta meliputi 32 jenis latihan dan dicerakinkan kepada fasa 1 dan fasa 2 latihan.
“Sehingga November 2021 untuk fasa 1 latihan ini, seramai 223 orang peserta daripada 459 jumlah keseluruhan yang disasarkan untuk fasa 1 telah menjalani latihan. Baki 236 peserta akan mula menjalani latihan bermula awal Disember 2021.

“Bagi fasa 2 pula, latihan akan bermula pada hujung Disember 2021 dan dijangka berakhir pada bulan Januari 2022,” jelasnya.