IPOH-  Negeri Perak masih mengekalkan keunggulan sebagai negeri kedua tertinggi menerima pelancong domestik pada tahun 2020 selepas Negeri Selangor.

Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata walaupun statistik keseluruhan kedatangan pelancong domestik pada tahun 2020 menunjukan kemerosotan ketara sebanyak 44.9 peratus namun tidak menggugat Perak sebagai sebuah negeri yang dikunjungi ramai.

"Perbezaan ketara itu dapat dilihat pada jumlah kedatangan pelancong domestik seramai 239.1 juta pada tahun 2019 berbanding 131.7 juta pelancong bagi tahun 2020.

"Begitu juga, purata perbelanjaan perjalanan pelawat domestik turut menunjukkan penurunan daripada RM310 pada tahun 2019 kepada RM275 pada tahun 2020. Peratus penurunan adalah sebanyak 11.3 peratus," katanya menerusi teks ucapannya sempena Program Pra Pelancaran Pangkor International Boat Show, baru- baru ini.

Katanya lagi, fakta itu sedikit sebanyak mencerminkan sektor pelancongan Perak masih mempunyai daya tahan. Namun begitu ia memerlukan sokongan padu dalam membantu para penggiat industri menghidupkan semula sektor pelancongan negeri ini.

Memahami situasi itu, Kerajaan Negeri telah menyediakan pelbagai insentif kepada para penggiat industri pelancongan seperti pengecualian bayaran lesen dan pemberian bayaran one-off melalui Pakej Rangsangan Ekonomi Perak Sejahtera.

"Seperti yang saya umumkan dalam Belanjawan 2022 Perak baru-baru ini, sektor ini adalah antara yang diberi tumpuan khusus pada tahun hadapan.

"Pelbagai inisiatif dan program telah dirancang termasuklah aktiviti mempromosi produk pelancongan Perak secara holistik melalui platform digital untuk menggamit kehadiran pelancong, bukan sahaja di peringkat domestik, tetapi juga pelawat dari luar negara," ujarnya.