Ipoh- Sebanyak 20 buah negara bakal menyertai Pangkor International Boat Show 2022 (PIBS2022) yang julung kali diadakan di Negeri Perak.

Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata pameran bertaraf antarabangsa itu akan diadakan pada 19 hingga 23 Oktober 2022.

"Para peserta terdiri daripada pemilik, pembuat, pengedar alat ganti dan rangkaian pengeluar aksesori rantaian industri marin termasuk sektor rekreasi seperti aktiviti sukan air, scuba diving, memancing dan jet ski.

"Ini merupakan usaha Kerajaan Negeri untuk menggilap semula sektor pelancongan Perak yang hampir dua tahun kesuraman akibat krisis pandemik melanda dunia.

"PIBS2022 bukan sahaja akan menjadi pemangkin kepada sektor pelancongan bertaraf antarabangsa, malah mampu meningkatkan sosio-ekonomi selain menonjolkan keunikan ciri-ciri sosial dan budaya masyarakat setempat.

"Pasaran global industri marin kini sudah mencecah RM147 bilion setahun dan Perak sebagai negeri yang mempunyai kapasiti baik dalam sektor pelancongan seharusnya merebut peluang keemasan ini," katanya menerusi sidang media selepas Majlis Pra Pelancaran Pangkor International Boat Show, baru- baru ini.

Kerajaan Negeri melihat potensi PIBS2022 sebagai platform perniagaan terkemuka dengan kualiti dan nilai yang baik untuk keseluruhan industri bot. Ia juga menyediakan persekitaran perniagaan profesional untuk pempamer dan pembeli di seluruh dunia.

Acara lain turut dirancang antaranya demontrasi penangkapan penjenayah di laut, demonstrasi oleh pasukan paskal, pameran aset TLDM, seminar berkaitan pengendalian bot dan penyediaan 'one stop check point'.

Saarani juga berharap PIBS2022 ini akan mengisi  kalendar acara maritim Malaysia selain Pameran Aeroangkasa dan Maritim Antarabangsa Langkawi (LIMA) dan Hari Armada Malaysia.

"Tidak salah untuk kita memasang impian supaya suatu hari nanti PIBS2022 akan menjadi acara terbesar seumpamanya di Asia Pasifik. Harapan agar Perak semakin terkenal sebagai destinasi pelancongan yang unggul dan berdaya maju.

PIBS2020 dijayakan dengan kolaborasi antara Tourism Perak, Pertubuhan Usahawaniaga Perak dan Eagle Swipe Global Sdn Bhd. Ia dijangka menggamit kehadiran lebih  60 ribu pengunjung dari dalam dan luar negara.