Batu Gajah - Tahun 2022 bakal menghidangkan pelbagai aktiviti menarik di Kellie's Castle yang sememangnya terkenal sebagai aset pelancongan warisan dan sejarah negeri Perak.

Timbalan Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya Malaysia (MOTAC), Datuk Seri Dr. Santhara Kumar menyatakan kekaguman terhadap bangunan yang berusia lebih 100 tahun itu, malah akan berkerjasama dengan pihak pengusaha untuk mengadakan beberapa aktiviti menarik di Kellies Castle.

Negara India terkenal dengan Taj Mahal sebagai lambang sebuah cinta Sultan Shah Jahan kepada isterinya Mumtaz Mahal namun di Perak kita mempunyai Kellies Castle yang juga melambangkan cinta William Kellie- Smith kepada isterinya Agnes dan anaknya Halen.

Pihak MOTAC akan berkerjasama untuk menjadikan Kellies Castle sebagai salah satu produk pelancongan yang seharusnya dikunjungi setiap masa kerana ia mempunyai tarikan keunikannya tersendiri serta perjalanan sejarah yang menarik sepanjangpembinaanya.

Untuk memperkenalkan bangunan ini kepada generasi muda, MOTAC berhasrat mengadakan pelbagai aktiviti kepada pelajar-pelajar sekolah rendah dan menengah. Pertandingan melukis menerusi pelbagai jenis teknik mampu mencungkil kreativiti para pelajar. Kita boleh memulakan pertandingan melukis di antara sekolah-sekolah bermula dari peringkat daerah Batu Gajah dan seterusnya ke peringkat negeri dan kebangsaan,” katanya kepada Peraktastic selepas lawatan kerja ke Kellies Castle di sini semalam.

Hadir sama, Pengarah MOTAC Negeri Perak, Asrul Zakaria, Ahli Parlimen Batu Gajah, YB V. Sivakumar, Yang Dipertua (YDP) Majlis Daerah Batu Gajah, Mohamad Razif Ramli dan Pengurus Besar Kellies Castle, Zamari Muhyi .

Sementara itu, Santhara juga juga menyentuh aspek keselamatan terutama di tingkat atas Kellies Castle yang melibatkan pelawat yang datang bersama keluarga.

Saya difaham oleh pengusaha, setakat ini tiada sebarang kemalangan dikalangan pelawat-pelawat sejak Kellies Castle ini dibuka pada tahun 2013. Namun, saya berharap pihak Majlis Daerah Batu Gajah dapat memperkemas kinikan semula aspek keselamatan seperti membina semula penghadang-penghadang yang lebih kukuh dan tahan lama.

Menyentuh penularan COVID-19 yang masih wujud di kalangan masyarakat, setakat ini tiada lagi kewujudan kluster baru yang melibatkan sektor pelancongan. Namun apa yang perlu orang ramai haruslah mengamalkan SOP yang telah ditetapkan bagi menjamin keselamatan diri dan keluarga.

Setakat ini SOP yang ditetapkan oleh Majlis Keselamatan Malaysia (MKM) cukup berkesan dan ternyata rakyat sekarang sudah boleh membiasakan diri menggunakan pelitup muka sebagai salah satu perkara wajib apabila berada di kawasan terbuka. Saya percaya sektor pelancongan pada tahun hadapan akan lebih baik dan lancar,” katanya. PERAKTASTIC