IPOH - Beberapa syarikat pengendali umrah akur dengan arahan Kementerian Kesihatan (KKM) untuk menangguhkan pelaksanaan ibadah umrah bagi membendung jangkitan Covid-19 varian Omicron sepertimana dilaporkan.

Pun begitu, pihak syarikat juga berharap agar KKM melihat kembali pelaksanaan prosedur operasi standard (SOP) di lapangan terbang dan pusat kuarantin yang bercelaru.

Mengulas perkara itu, Ketua Pegawai Operasi Ajaq Global Travel and Tours Sdn. Bhd. (Ajaq Global Tours), Abdul Jabbar Mohammed Kahar berharap agar penangguhan berkenaan hanya bersifat sementara dan tidak lama.

Katanya, susulan arahan itu juga pihaknya telah memanjangkan perkara tersebut kepada bakal jemaah umrah kendalian syarikatnya selain meminta mereka bertenang.

"Harapnya kerajaan tak menangguhkan terlalu lama dan betulkan apa yang berlaku kecelaruan pada peringkat KKM.

"Jangan masalah itu dibawa kerana rakyat dah bersedia untuk melalui daripada situasi pandemik kepada endemik.

"Saya sendiri ada jemaah 100 hingga 200 daripada Januari hingga Februari. Jemaah paling dekat (bertolak) ialah pada 17 Januari, 19 Januari dan 28 Februari," katanya menerusi hantaran WhatsApp kepada Peraktastic.

Jelas beliau, dalam soal mengikuti SOP sebenarnya jemaah umrah adalah kelompok yang paling patuh pada arahan dikenakan.

"Kita ikuti semua kehendak yang diminta pihak berkuasa seperti mendapatkan dos penggalak, melakukan empat kali ujian calitan serta menjalani kuarantin selama tujuh hari.

"Jadi secara peribadi saya harap penangguhan ini tidak lama, antara seminggu hingga dua minggu sehingga isi SOP diselesaikan pihak berkuasa,.

"Pada masa sama pihak berkuasa jangan lihat jemaah umrah sahaja tetapi ketatkan juga pada pengembara ke negara lain. Seperti mana mereka, kita juga tidak mahu ada sekatan," ujarnya

Dalam pada itu kata Abdul Jabbar, pihaknya juga telah memaklumkan pada jemaah supaya bertenang dan bersedia sahaja dengan perubahan tarikh umrah.

"Kita telah berbincang dengan pihak Saudi Airlines dan hotel jika berlaku penangguhan untuk dibawa pada tarikh lain jadi jemaah tidak perlu bimbang dalam soal itu," katanya.

Sementara itu, seorang mutawif umrah mengesahkan sebahagian daripada jemaah umrah kendalian syarikatnya yang pulang ke tanah air pada 27 Disember lalu dijangkiti Covid-19 termasuk varian Omicron.

Katanya, perkara itu diketahui semasa jemaah pulang dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) untuk dikuarantin selama 14 hari.

"Kebanyakan jemaah yang positif ini tiada simptom dan dimaklumkan dikesan semasa dikuarantin. Tapi bukan semua.

"Melihat pada perkembangan semasa ini saya berpandangan penangguhan sementara umrah ini ada baiknya untuk pihak Arab Saudi menyusun kembali SOP di sana.

"Saya juga sepatutnya membawa kumpulan jemaah umrah pada 19 Januari ini tapi telah ditangguhkan sehingga Februari nanti," ujarnya.