PULAU PANGKOR – Kerajaan negeri Perak sentiasa komited untuk terus memacu sektor pelancongan negeri ini sebagai salah satu sektor yang menjana pertumbuhan ekonomi negeri.

Ia sekali gus dapat meningkatkan sumber pendapatan masyarakat setempat melalui penglibatan lebih ramai rakyat tempatan dalam aktiviti pelancongan seperti bidang perhotelan, pengangkutan, kedai makanan, sukan rekreasi air dan lain-lain lagi.

Menteri Besar, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata, kedatangan pelancong ke Pulau Pangkor telah mencatatkan peningkatan bermula Oktober 2021 iaitu seramai 52,487 orang kepada 95,514 pada November dan 134,808 (Disember). 

Menurut beliau, peningkatan tersebut melalui kemasukan pelancong dari seluruh negara yang direkodkan dalam tempoh Fasa ketiga dan keempat Pelan Pemulihan Negara (PPN) setelah aktiviti rentas negeri dibenarkan.

“Peningkatan ini memberi keyakinan bahawa industri pelancongan khususnya di Pulau Pangkor tetap utuh sekaligus memacu pemulihan ekonomi negeri.

“Saya yakin melalui usaha pelbagai pihak termasuklah SKS Airways akan turut memberikan limpahan ekonomi kepada masyarakat setempat dalam mengukuhkan reputasi negeri Perak sebagai antara hub sektor pelancongan utama di Malaysia,” ujarnya.

Beliau berkata demikian semasa berucap pada Majlis Sambutan Penerbangan SKS Airways dari Subang ke Pangkor di Lapangan Terbang Pulau Pangkor hari ini.

Turut hadir Pengerusi Malaysia Airports Bhd, Datuk Seri DiRaja Zambry Abdul Kadir; Pengarah SKS Airways, Dato' Fahrul Rahman Ahmad; Pengerusi jawatan kuasa Infrastruktur, Tenaga, Air dan Pengangkutan Awam. Mohd. Zolkafly Haron dan Ketua Eksekutif Tourism Perak, Nurmalis Musa.

Penerbangan harian dari Subang ke Pulau Pangkor ini mengambil masa selama 55 minit dengan kapasiti 19 orang penumpang termasuk kru penerbangan.

Bercakap lebih lanjut kata Menteri Besar, beliau percaya inisiatif oleh SKS Airways ini akan membantu melonjakkan lagi kapasiti dan reputasi Pulau Pangkor sebagai Pulau Bebas Cukai
serta akan menjadi perintis kepada keterlibatan lebih banyak syarikat penerbangan lain untuk melebarkan sayap ke negeri Perak.

Pada masa sama, Saarani memberitahu, kerajaan negeri memahami bahawa penyediaan infrastruktur yang baik sangat penting untuk memastikan kelangsungan industri pelancongan selain bertujuan meningkatkan tahap keselesaan pelancong.

Katanya, di kawasan Manjung sahaja terdapat beberapa projek telah disiapkan termasuk pembinaan struktur ruang menunggu di kawasan Jeti Pangkor, pembinaan tandas dan surau di Teluk Nipah serta kerja-kerja pembangunan Kampung Penyu di Teluk Ketapang, Pulau Pangkor.

“Selain itu, beberapa projek infrastruktur lain sedang dalam pembinaan termasuk cadangan membina dan menyiapkan ruang perniagaan bazar di Teluk Nipah, pembinaan sebuah Arena Square, ruang perniagaan dan restoran terapung di Teluk Baharu, Pulau Pangkor. Kedua-dua projek ini dijangka siap pada tahun hadapan.

“Kesemua projek-projek ini diharap dapat mempersiapkan Pulau Pangkor bagi menerima jumlah pelancong yang lebih besar pada masa depan. Tourism Perak menerima kira-kira 100 penganjuran acara daripada pelbagai pihak untuk dilaksanakan sepanjang tahun 2022 dan ianya telah disenaraikan dalam kalendar acara negeri,” ujarnya.

ENDS//