IPOH – Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) akan membangunkan kawasan pusat bandar Ipoh berdasarkan konsep ‘Walkable Ipoh’ dengan menyediakan kemudahan-kemudahan yang lengkap untuk pejalan kaki dan berbasikal secara selesa dan selamat.

Kawasan pusat bandar ini meliputi pekan lama Ipoh, pekan baru Ipoh dan kawasan pembangunan Greentown.

Datuk Bandar Ipoh, Datuk Rumaizi Baharin berkata, program ‘Walkable Ipoh’ ini dijangka menjadi kenyataan pada tahun 2030.

Menurut beliau, pemilihan kawasan ini berdasarkan pelbagai tarikan pelancongan, komersial, kemudahan awam dan institusi yang sedia wujud dikawasan tersebut selain merupakan kawasan sesak terutamanya pada waktu puncak dan cuti umum.

“Penyediaan kemudahan pejalan kaki dan lorong berbasikal yang selesa dan selamat sebagai mod pergerakan dapat mengurangkan kesesakkan di kawasan tersebut dengan jangkamasa perjalanan antara pusat tumpuan hanya dalam masa 15 minit.

“Konsep pembangunan ‘Walkable Ipoh’ ini akan menyediakan kemudahan yang inklusif meliputi laluan pejalan kaki, lorong basikal, kemudahan laluan kerusi roda, mikro mobility dan kemudahan bas yang berkesinambungan selaras dengan terma Bandar Sihat Mesra Pejalan Kaki,” ujarnya.

Kemudahan seperti ini dijangka akan dapat menagani kesan pulau haba bandar dan meningkatkan kualiti alam persekitaranya hasil daripada pengurangan pelepasan karbon dan seterusnya mencapai status Ipoh sebagai bandar rendah karbon.

Pelan ‘Walkable Ipoh’ ini telah dilancarkan serentak bersama Pelan Strategik MBI 2030 dan Pelan Tindakan Bandar Rendah Karbon Ipoh 2030 yang disempurnakan oleh Menteri Besar, Datuk Seri Saarani Mohamad.

Pada majlis sama juga, MBI memeterai memorandum persefahaman (MoU) dengan MajuPerak Holdings Berhad bagi melaksanakan pemasangan Solar Fotovoltaik (PV) di salah satuinfrastruktur MBI iaitu Pasar Ayam Amanjaya.

Usaha ini sejajar objektif Program Solar Perak oleh Majuperak Holdings Berhad sendiri iaitu untuk meletakkan negeri Perak pada barisan hadapan dalam mencapai matlamat Malaysia ke arah penggunaan tenaga boleh diperbaharui sebanyak 20 peratus menjelang 2025.

Selain itu, persetujuan bersama yang telah dicapai pada hari ini adalah bagi membantu melestarikan bangunan milik kerajaan melalui tenaga hijau iaitu tenaga yang lebih efisien dengan sumber elektrik berganda seterusnya melengkapkan bangunan MBI dengan sistem solar terbaik di pasaran.

MBI juga bakal menikmati pengurangan kos penyelenggaraan dan pengurusan bangunan melalui pengurangan bil elektrik dengan penggunaan tenaga yang lebih cekap.