IPOH - Warga pendidik di negeri ini diingatkan agar tidak merasa tertekan disebabkan situasi pandemik Covid-19 sehingga mengambil keputusan untuk meletakkan jawatan.

Sebaliknya, golongan pendidik perlu memainkan peranan mengajak masyarakat melawan Covid-19 kerana mereka merupakan ejen perubah dan pemimpin.

Menteri Besar, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata, pihaknya ada menerima laporan terdapat guru-guru hilang tumpuan disebabkan pandemik dan ingin melepaskan jawatan.

"Semasa ke Gerik, saya diberitahu oleh pegawai pendidikan daerah ada guru-guru hilang fokus dan ingin pencen awal. Misalnya yang berumur 40 tahun.

"Cikgu adalah ejen, pemimpin dan pemberi motivasi, jadi cikgu tidak boleh ada niat nak berhenti sebab Covid-19. Mereka mesti ada semangat hendak melawan," katanya.

Beliau berkata demikian semasa hadir pada Majlis Pelancaran Smart G-Tuisyen dan Program Makanan Percuma di bawah inisiatif Tuisyen Cikgu Saarani di Hotel Casuarina, Meru di sini.

Program ini melibatkan pelajar Sijil Pelajaran Malaysia, Sijil Vokasional Malaysia, Sijil Tinggi Pelajaran Malaysia dan Sijil Tinggi Agama Malaysia 2021.

Ditanya lebih lanjut, Saarani bagaimana pun tidak mempunyai maklumat lanjut berhubung berapa ramaikah guru yang telah memohon untuk meletakkan jawatan disebabkan pandemik Covid-19.

Pada majlis sama, Menteri Besar menegaskan kerajaan negeri tidak berhasrat untuk menutup mana-mana sekolah walaupun kes harian Covid-19 meningkat.

Katanya, ini bagi mengelak murid ketinggalan dalam pelajaran.

"Kerajaan negeri sentiasa mengambil maklum keresahan dan pandangan ibu bapa pelajar apabila kes jangkitan meningkat.

"Kita berhasrat untuk buka sekolah seperti biasa dan kita tidak mampu tutup sekolah kerana saya menerima laporan ramai pelajar sudah tidak minat ke sekolah.

"Saya ambil kesempatan ini mengajak semua agar sentiasa berwaspada kerana kalau sekolah tutup sekali lagi pelajar akan keciciran," katanya.

Bagaimana pun jelas Saarani, kuasa untuk menutup sekolah adalah di bawah Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) berdasarkan situasi kes semasa.