IPOH - Sebuah premis yang dijadikan stor simpanan minyak diesel di Tambun diserbu penguat kuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna
(KPDNHEP) negeri.

Serbuan dilakukan pada pukul 7.30 pagi tadi hasil maklumat risikan yang dijalankan oleh Unit Risikan KPDNHEP Perak selama lebih dua minggu.

Pengarah KPDNHEP negeri, Saifullizan Kamarul Zaman berkata, satu arahan untuk mengemukakan dokumen dan pengistiharan stok barang kawalan berjadual telah dikeluarkan di bawah Seksyen 8 AKB 1961 dan Seksyen 8(1) AKB 1961 kepada seorang lelaki yang disyaki penjaga premis.

Katanya, hasil pemeriksaan menemui tiga tong dram dipenuhi cecair disyaki minyak diesel yang dianggarkan berjumlah 600 liter di dalam premis berkenaan.

"Sebuah lori tangki mengandungi cecair disyaki minyak diesel berjumlah 4,200 liter dan peralatan untuk memindahkan minyak turut ditemui di premis berkenaan.

"Sindiket ? dipercayai membeli minyak diesel ini di stesen-stesen minyak sekitar Ipoh dan menyimpannya di stor berkenaan," ujarnya dalam satu kenyataan di sini.

Kesemua barang rampasan termasuk 4,800 liter yang disyaki cecair minyak diesel disita dengan nilai kesemuanya dianggarkan RM40,320.

Seorang lelaki berbangsa Cina berusia 58 tahun turut ditahan untuk siasatan lanjut.

Kes akan disiasat di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961 dan Peraturan-Peraturan Kawalan Bekalan 1974.