IPOH - Semua jabatan, agensi dan badan-badan lain disaran untuk merujuk kepada Majlis Keselamatan Negeri (MKN) Perak berhubung sebarang penganjuran program yang melibatkan kehadiran ramai.

Pejabat Menteri Besar Perak dalam satu kenyataan hari ini memberitahu, ini bagi memastikan keselamatan rakyat ketika peningkatan jumlah kes Covid-19 yang berleluasa akhir-akhir ini.

Menurut kenyataan itu, walaupun penangguhan program hanyalah melibatkan program yang dihadiri Menteri Besar namun bagi agensi lain hendaklah merujuk pada MKN.

"Merujuk kepada Kenyataan Akhbar bertarikh 23 Februari 2022, mengenai penangguhan program Menteri Besar Perak.

"Adalah dimaklumkan penangguhan program hanya melibatkan program-program kerajaan yang melibatkan YAB Menteri Besar.

"Bagi program-program yang dilaksanakan oleh jabatan, agensi serta badan-badan lain, Pejabat Menteri Besar menasihatkan supaya merujuk kepada Majlis Keselamatan Negeri Perak," ujar kenyataan itu.

Dalam satu kenyataan semalam, kerajaan negeri menangguhkan semua program selepas menerima pandangan dan nasihat MKN.

Keputusan berkenaan dibuat memandangkan peningkatan kes Covid-19 yang melanda negeri serta negara masa ini.

Bagaimana pun program yang melibatkan penyampaian bantuan kecemasan, kes Covid-19 serta program vaksinasi dan dos penggalak akan diteruskan dengan pematuhan ketat.