IPOH- Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) tidak mengeluarkan sebarang peruntukkan berkaitan pembangunan Tasik Cermin Eco Park Ipoh.

Datuk Bandar Ipoh, Dato’ Rumaizi Baharin @ Md Daud berkata demikian bagi menjelaskan salah faham segelintir netizen yang mempertikaikan dana pembangunan Tasik Cermin Eco Park Ipoh sebagai satu pembaziran oleh MBI.

“MBI tidak menyumbang sebarang peruntukan berkaitan pembangunan Tasik Cermin ini. Dana pelaburan itu sebenarnya melibatkan syarikat konsetium iaitu Tasik Cermin Eko Sdn.Bhd., malah terdapat juga dana dari luar negara.

“Pihak MBI juga, tidak memajakkan tanah tersebut tetapi hanya meluluskan penyewaan dan berhak mengenakan cukai. Sekiranya berlaku sebarang pelanggaran perjanjian, ianya boleh ditamatkan dalam masa 24 jam.

“Tasik Cermin Eco Park dibangunkan belandaskan konsep yang telah dirancang untuk menjadikannya sebagai salah satu produk baharu pelancongan negeri Perak khususnya di bandaraya Ipoh.

“Secara tidak langsung, kita mempunyai Taman Ipoh Kuari yang pertama dalam Malaysia. Sebelum ini, tanah bekas kuari terbiar kosong dan inisatif memulihkan kawasan ini berjaya menarik ramai pengunjung. Selain itu, ternyata mampu meningkat kualiti persekitaran yang baik dan terjaga”, katanya sewaktu ditemubual oleh Ipohecho baru-baru ini.