TANJUNG MALIM - Dua pemuda maut setelah kereta Proton Wira dinaiki terbabas dalam kemalangan di Jalan Tanjung Malim menghala ke Proton City awal pagi semalam.

Mangsa yang meninggal dunia ialah Muhamad Faris Amran, 20, dan Syed Umar Syazrim bin Syed Hashim, 22, kedua-duanya berasal dari Ipoh.

Jurucakap Bilik Gerakan Jabatan Bomba dan Penyelamat negeri Perak memberitahu, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada pukul 12.22 pagi.

Menurut jurucakap itu, sepasukan anggota bersama jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat Tanjung Malim telah dihantar ke lokasi kejadian bagi memberi bantuan.

"Kemalangan dipercayai berlaku apabila kereta berkenaan hilang kawalan lalu terbabas dan melanggar sebatang tiang.

"Tiga penumpang di dalamnya tercampak keluar dengan seorang disahkan maut manakala dua yang lain cedera ringan.

"Dua lagi rakan mereka pula tersepit dalam kenderaan iaitu pemandu kereta yang cedera parah manakala penumpang hadapan cedera ringan." ujarnya

Mangsa yang parah bagaimana pun meninggal dunia semasa dirawat di Hospital Slim River.

Bomba yang tiba di tempat kejadian telah bertindak mengeluarkan mangsa yang tersepit menggunakan peralatan khas.

Mayat mangsa yang maut pula diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya.

Manakala mangsa-mangsa yang mengalami kecederaan kemudian dihantar ke Hospital Slim River untuk menerima rawatan.

Operasi yang diketuai PBK II Nasir Ibrahim ini tamat sepenuhnya pada pukul 1.50 pagi.

habis