IPOH - Kebenaran pengeluaran Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) membolehkan pencarum yang mempunyai keperluan mendesak untuk menyelesaikan perkara-perkara perlu.

Eksekutif swasta, Nizam Mohamad, 34, berkata, bukan semua rakyat sudah pulih daripada situasi pandemik, jadi ia dilihat satu kelegaan buat pencarum.

Katanya, ini ditambah dengan perkara-perkara lain seperti pembukaan sesi persekolahan tidak lama lagi atau anak-anak yang menyambung pengajian.

"Bagi saya ia satu kelegaan apabila Perdana Menteri mengumumkan perkara tersebut kerana ia berita yang amat ditunggu-tunggu.

"Dengan ada duit lebih ia juga dapat membantu ekonomi setempat apabila pencarum menggunakan wang itu berbelanja," ujarnya.

Kelegaan juga disuarakan kerani sebuah sekolah, Mohamed Arifin Azmi, 30, yang merancang menggunakan wang tersebut bagi membaiki kerosakan rumah.

"Beberapa kelengkapan rumah juga rosak seperti peti ais semasa ribut di Simpang Pulai, jadi saya ingin membeli baru untuk kegunaan keluarga, lagi pun Ramadan tak lama lagi.

"Bagi golongan pekerja berpendapatan kecil macam saya kebenaran mengeluarkan KWSP adalah satu rahmat," ujarnya meluahkan kesyukuran.

Semalam, Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengumumkan bahawa kerajaan bersetuju membenarkan pencarum KWSP membuat pengeluaran khas sebanyak RM10,000.

Keputusan itu berdasarkan hasil kajian dan penelitian menyeluruh dalam kalangan rakyat yang masih terkesan dari segi ekonomi, kehilangan pendapatan dan sedang membina semula kehidupan.

Sementara itu, KWSP dalam satu kenyataan menjelaskan, permohonan pengeluaran ini dibuka kepada ahli di bawah umur 55 tahun bermula 1 April 2022.

Tarikh akhir permohonan adalah pada 30 April 2022 manakala tempoh pembayaran akan dilaksanakan bermula 20 April depan.