IPOH - Kerajaan Perak mensasarkan pembangunan 50,000 buah rumah mampu milik bermula 2018 hingga 2023.

Sehingga 31 Disember lalu, sasaran sebanyak 56,292 unit rumah telah disediakan.

Merujuk pada pendaftaran data sistem e-perumahan, jumlah pendaftaran pemohon bagi 2016 hingga 2021 sebanyak 22,491.

Pengerusi Jawatankuasa Perumahan, Kerajaan Tempatan dan Pelancongan negeri, Datuk Nolee Ashilin Mohammed Radzi berkata, daripada jumlah ini golongan B40 sebanyak 19,977 dan M40 2,514, manakala pada tahun 2021 sebanyak 6,559 permohonan diterima.

Katanya, kerajaan negeri memahami kegusaran rakyat yang menghadapi masalah berhubung pinjaman bank bagi tujuan pembiayaan perumahan.

'Sehubungan itu, Lembaga Perumahan dan Hartanah Perak (LPHP) telah mengambil inisiatif membuat perbincangan berkaitan pembiayaan Perakku 1 dan II di bawah institusi kewangan terlibat.

"Menerusi Skim Jaminan Kredit Perumahan (SJKP) slip gaji dilonggarkan pada pengesahan penghulu, ketua kampung atau kakitangan kerajaan Gred A," ujarnya.

Beliau berkata demikian semasa Ucapan Penggulungan pada Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak di sini hari ini.

Kata Nolee lagi, LPHP akan memanggil pemohon yang disokong dalam temuduga untuk proses saringan terus oleh bank terlibat dengan kelulusan serta merta.

"Sehubungan itu, LPHP berhasrat menganjurkan kempen Pembeli Rumah Pertama bagi memperkasakan persediaan pemohon-pemohon pemilikan.

"Ini termasuk kempen pengurusan kewangan bagi menaikkan kadar kemampuan pendaftaran yang belum bersedia bagi tujuan pembiayaan perumahan," ujarnya.

Sebagai permulaan, kempen ini akan dimulakan pada 25 April melibatkan bank, SKJP dan CCRIS

Perkara ini perlu dilaksanakan sekarang bagi memastikan generasi masa kini dan akan datang dapat menikmati kemudahan perumahan yang telah disediakan kerajaan.