IPOH - Hasrat untuk meletakkan Ipoh sebagai bandaraya seni berada pada landasan yang betul apabila sebuah studio perfileman digital bakal beroperasi sekali gus menjadi hub industri itu di wilayah utara.

Ini berikutan penubuhan Pincer MBI Studio Sdn. Bhd. (Pincer MBI Studio) apabila mengambil alih Studio PINCER di Meru Raya di sini.

Datuk Bandar Ipoh, Dato' Rumaizi Baharin@Md Daud berkata, Pincer MBI Studio adalah syarikat yang telah ditubuhkan pada 17 Mac lalu untuk mengaktifkan semula studio tersebut setelah terbiar sejak 2018.

Menurut beliau yang juga Pengerusi Pincer MBI Studio, inisiatif ini menerusi kerjasama pintar dengan beberapa pihak bagi memastikan industri kreatif di Ipoh terus berkembang.

"Studio PINCER yang terletak di Meru Raya ini telah dibangunkan oleh Perbadanan Kemajuan Negeri Perak (PKNP) di bawah projek Taman Teknologi Tinggi Perak dengan menelan kos sebanyak RM20 juta pada 2011.

"Saya yakin dan percaya Studio PINCER ini akan menjadi pusat sehenti seni kepada pengkarya seni di Malaysia mahupun luar negara.

"Ini kerana industri kreatif yang merangkumi pelbagai elemen seni harus menjadi syarat utama bagi mewujudkan sebuah bandar maju sebagai bandar kesenian," ujarnya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada Majlis Berbuka Puasa anjuran Pincer MBI Studio Sdn. Bhd. (Pincer MBI Studio) di Hotel Impiana semalam.

Ia turut dihadiri pengurusan kanan Pincer MBI Studio iaitu Ketua Pegawai Eksekutifnya, Kah Fee Yee@Thong dan Pengarah Eksekutif, Allyan Too serta Ahli Lembaga Pengarah.

Jelas Rumaizi lagi, pihaknya percaya sekiranya Studio PINCER dibaik pulih semula dan menambah keperluan seperti kamera dan sebagainya, ia pasti menarik warga penggiat seni dari dalam dan luar negara menggunakan perkhidmatan yang disediakan.

Katanya, Studio PINCER ini dijangka akan memulakan operasi pada pertangahan tahun ini, namun bangunan itu perlu melalui beberapa fasa baik pulih sebelum digunakan.

"Kemudahan di Studio ini akan digunakan sebaik mungkin bukan sahaja melahirkan seni kreatif, malah mampu menjana ekonomi penggiat seni dan secara tidak langsung untuk negeri Perak," ujar beliau.

Sementara itu, Fee Yee yakin usaha tersebut bakal meletakkan Ipoh sebagai bandar seni apabila memiliki studio perfileman digital antara yang terbaik di negara ini.

Anak kelahiran Ipoh ini dan rakan kongsinya, Allyan Too, merupakan nama besar dalam industri digital negara termasuk penerbitan filem bersama produksi luar negara.

Katanya, ketika ini terdapat tiga studio perfileman digital iaitu Iskandar Malaysia Studios di Johor, di Cyberjaya dan Studio Perfileman FINAS.

"Industri kreatif boleh membawa pelaburan besar misalnya apabila sesebuah syarikat penerbitan datang ke sini membuat penggambaran, ia memberi limpahan ekonomi," katanya.