KAMPAR: Dua beradik maut manakala tiga lagi cedera apabila kenderaan yang dinaiki mereka terbabit kemalangan dengan sebuah treler di Kilometer 310.4 Lebuhraya Utara Selatan arah selatan, di sini awal pagi tadi.

Ketua Polis Daerah Kampar, Supt Mohamad Nazri Daud berkata mangsa Nurqalesya Adriana Jaafar, 12, meninggal dunia di lokasi kejadian manakala Muhammad Saiful Amry Jaafar, 9, meninggal dunia di Hospital Tapah.

Menurut beliau, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian kemalangan membabitkan kereta jenis Proton Iswara dan treler jenis Nissan itu daripada orang awam pada jam 2.30 pagi.

"Kereta jenis Proton Iswara itu dinaiki oleh enam orang, iaitu bapa mangsa dan empat orang anak termasuk seorang wanita yang dipercayai tunang kepada bapa mangsa.

"Dalam kejadian itu bapa mangsa Jaafar Ahmad, 49, cedera di kaki kanan, manakala dua lagi anaknya yang berusia 14 dan 6 tahun cedera ringan. Seorang lagi wanita berusia 24 tahun tidak mengalami sebarang kecederaan," katanya dalam kenyataan pada Jumaat.

Mohamad Nazri berkata pemandu treler berumur 47 tahun itu pula tidak mengalami kecederaan.

Ujarnya lagi sebab kematian masih belum diketahui dan punca kemalangan masih dalam siasatan, kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.