IPOH - Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 Berisiko Rendah (PKRC) Arena Badminton daerah Kinta, Ipoh ditutup secara rasmi Rabu lalu.

Ia telah beroperasi lebih dua tahun bermula 28 November 2020 berikutan peningkatan wabak Covid-19 ketika itu.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Sains, Alam Sekitar dan Teknologi Hijau negeri, Mohd. Akmal Kamarudin berkata, penutupan itu menjadikan PKRC Arena Badminton Ipoh sebagai PKRC terakhir yang ditutup.

"Ini berikutan penurunan kemasukan pesakit positif Covid-19 di negeri Perak ke PKRC berikutan kebanyakkan pesakit masing-masing menjalani kuarantin kendiri di rumah.

"Mewakili kerajaan negeri, kami memohon maaf sekiranya terdapat kekhilafan dan kekurangan sepanjang pengoperasian PKRC," ujarnya menerusi hantaran pada laman Facebook beliau kelmarin n

Pada hantaran itu, Mohd. Akmal turut mengucapkan ribuan terima kasih kepada Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), Jabatan Kesihatan Negeri Perak, Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) atas segala usaha dan tenaga yang disumbangkan bagi pengurusan PKRC.

Semasa awal pengoperasian, PKRC Arena Badminton dilengkapi masing-masing 80 katil untuk lelaki dan wanita itu bertujuan merawat pesakit kes Kategori Satu serta Dua.