IPOH - Lebih 3,000 peserta berkampung di bandaraya Ipoh bagi menjayakan Kejohanan Sukan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) Malaysia (MALA) 2022 yang akan berlangsung selama tiga hari bermula malam tadi.

Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) telah dipilih tuan rumah Kejohanan Sukan PBT Malaysia (MALA) 2022 yang diadakan bersempena sambutan ulangtahun Hari Bandar Raya Ipoh ke-34.

Pembukaan acara ini yang dilangsungkan meriah penuh warna-warni telah disempurnakan oleh Menteri Besar, Dato' Seri Saarani Mohamad di Stadium Hoki Sultan Azlan Shah, Ipoh malam tadi.

Ia turut dihadiri Datuk Bandar Ipoh, Dato’ Rumaizi bin Baharin dan Datuk Bandar Majlis Bandaraya Pulau Pinang merangkap Presiden MALA, Dato’ Ar. Yew Tung Seang.

Bandar raya Ipoh juga telah menjadi lokasi perasmian kejohanan ini mulai 3 Jun hingga 30 Oktober ini.

Ia melibatkan tiga fasa pertandingan yang akan berlangung di lima buah PBT seluruh negara iaitu MBI, Majlis Bandaraya Johor Bahru (MBJB), Majlis Bandaraya Pasir Gudang (MBPG), Majlis Bandaraya Iskandar Puteri (MBIP) dan Majlis Daerah Pekan (MDP) mempertandingkan 11 acara sukan.

Kejohanan bagi fasa pertama pertandingan ini di Kompleks Sukan MBI melibatkan acara bola sepak, dart dan hoki dengan penyertaan 52 buah PBT.

Saarani semasa berucap pada majlis perasmian itu memberitahu, penganjur edisi sukan MALA di Ipoh tahun ini istimewa kerana berlangsung dalam kalendar sambutan ulangtahun Bandaraya Ipoh.

Beliau turut mengucapkan syabas dan tahniah pada pihak MBI yang berjaya menyelaraskan acara di sebalik kesibukan dalam sambutan ulangtahun serta penugasan lain.

"Saya berharap para peserta juga dapat melalui pengalaman yang menarik dan menyeronokkan sepanjang berada di sini

"Acara sukan ini sememangnya sangat digalakkan kerana sukan menjadi wadah penting dalam menyatukan hubungan. Sukan telah mengajar kita erti perpaduan dan bekerjasama.

"Sukan juga bukan sekadar menjadi platform gaya hidup sihat tetapi juga menerapkan semangat patriotisme," ucap Saarani.

Ini kerana katanya, begitu juga dengan sukan MALA ini apabila peserta bukan saja datang mewakili PBT masing masing tetapi juga mewujudkan kerjasama dalam semangat kesukanan.

Terdahulu, majlis perasmian dimulakan dengan perarakan masuk kesemua kontinjen diikuti acara menaikkan bendera kejohanan serta bacaan ikrar peserta yang diakhiri dengan persembahan bunga api.

Tirai kejohanan kemudian dimulakan dengan perlawanan hoki peringkat kumpulan bantara MBI menentang Majlis Perbandaran Seberang Perai dengan keputusan memihak pada MBI.