IPOH - Pemilihan Bandaraya Ipoh sebagai tuan rumah bagi Kejohanan Sukan Pihak Berkuasa Tempatan Malaysia (MALA) 2022 merupakan satu pengiktirafan pada bandaraya ini.

Ini kerana selaku tuan rumah, Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) dilihat mempunyai kemampuan untuk menjayakan acara sukan tersebut dengan menyambut kira-kira 3,000 peserta.

Presiden MALA, Dato’ Ar. Yew Tung Seang memberitahu, pemilihan MBI juga telah diputuskan secara sebulat suara oleh Ahli Jawatankuasa pada mesyuarat yang diadakan.

Katanya, Ipoh dipilih tuan rumah Kejohanan Sukan PBT Malaysia (MALA) 2022 yang diadakan bersempena sambutan ulangtahun Hari Bandar Raya Ipoh ke-34.

"Pemilihan tersebut sangat bermakna, dalam AJK kita bermesyuarat dan telah bersetuju memilih Ipoh.

"Ini kerana bukan senang untuk menjadi tuan rumah kerana persiapan dan persediaan yang diperlukan sangat banyak, tetapi MBI dapat melaksanakan tugas ini dengan jayanya," ujarnya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas majlis perasmian pembukaan kejohanan itu malam tadi.

Turut hadir Datuk Bandar Ipoh, Dato’ Rumaizi Baharin.

Terdahulu, majlis pembukaan acara ini telah disempurnakan oleh Menteri Besar, Dato' Seri Saarani Mohamad di Stadium Hoki Sultan Azlan Shah di sini.

Kejohanan bagi fasa pertama pertandingan ini di Kompleks Sukan MBI melibatkan acara bola sepak, dart dan hoki dengan penyertaan 52 buah PBT.

Sementara itu kata Tung Seang yang juga Datuk Bandar Majlis Bandaraya Pulau Pinang, satu lagi acara diadakan bersempena kejohanan sukan MALA ini iaitu Program Kayuhan West Coast Expressway Ride 2022 (WCE RIDE 2022).

Jelasnya, program kayuhan ini melibatkan kesemua PBT dianjurkan oleh pihak MALA dengan kerjasama Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) dan West Coast Expressway (WCE) Sdn Bhd.

"Penyertaan hanya terhad kepada 1,000 orang peserta sahaja dan hingga kini seramai 700 peserta telah mendaftar.

"Kita juga membuka penyertaan kepada 200 orang awam.

"Untuk rakyat Malaysia yang berminat untuk menerima cabaran kayuhan sejauh 93 kilometer sambil menghayati suasana dan permandangan di West Coast Expressway, jangan lepaskan peluang keemasan menyertai program ini," ujarnya.