IPOH- Secara keseluruhan ekonomi negeri  Perak menunjukkan pertumbuhan positif sejak negara memasuki Fasa Peralihan ke Endemik, sekali gus membuka peluang luas kepada usahawan luar memperkembangkan perniagaan dalam pelbagai sektor.

Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak, Dato’ Mohamad Zahir Abdul Khalid berkata negeri Perak sememangnya  kaya dengan pelbagai sumber semulajadi serta berpotensi besar dalam menarik minat pelabur-pelabur khususnya dari negara jiran, Singapura.

“Kehadiran 100 orang usahawan dari Singapura ke bandar raya Ipoh menunjukkan perkembangan baik dalam memacu kembali sektor ekonomi di negeri ini.

“Persamaan budaya, tradisi, undang-undang mahupun cara berkomunikasi di antara Malaysia dengan Singapura, antara faktor terjalinnya hubungan erat sejak sekian lama.

“Saya berharap kunjungan mereka ke bandar raya Ipoh, bakal meraih peluang-peluang baharu sepertimana sebelum ini telah pun tementerai beberapa perjanjian perniagaan”, katanya pada Peraktastic dalam sidang media sempena Majlis Makan Malam Sesi Rangkaian Bond Holdings - SOEN (Spotlight On Entrepreneurs ) di Hotel Weil, Ipoh semalam.

Hadir sama, Bekas Ahli Parlimen Singapura, Muhamad Amrin Muhamad Amin; Ketua Pegawai Eksekutif Bond Holdings, Ong Teng Boon dan Pengasas Seon, Joseph Chong.

Pada masa yang sama Datuk Bandar Ipoh, Dato’ Rumaizi Baharin @ Md Daud menandatangani Pelaburan Rentas Sempadan Singapura-Ipoh bagi pembelian 10 unit Bond Suites, Ipoh di antara Ketua Eksekutif Ello Fintech, Steven Lau.

Sebelum itu, pada sebelah petang telah berlangsung Sesi Rangkaian Bond Holdings - SOEN bersama Tourism Perak yang diterajui oleh Ketua Eksekutif Tourism Perak, Nurmalis Musa.

Kunjungan para usahawan Singapura itu, turut menarik perhatian Datuk Bandar Ipoh, Dato’ Rumaizi Baharin dan beliau berkata kunjungan itu merupakan perkembangan baik bagi sektor ekonomi di bandar raya Ipoh khususnya.

“Kita menunggu dan melihat apa yang ingin dirancang oleh pihak SOEN menerusi peluang-peluang perniagaan yang mereka lihat sendiri sempena kunjugan mereka ke sini.

“Berpandukan beberapa pembentangan,  kita bakal memfokuskan kepada digital industri selain dari peluang perniagaan bidang hartanah, dan pelancongan.

“Kita akan memperbincangkan semula dan mengkaji apakah cadangan mereka dapat memberi faedah dan kebaikan kepada kedua-dua pihak dalam mempertingkatkan ekonomi secara keseluruhannya”, ujarnya.

Sementara itu, Pengerusi Touris Perak, Dato’ Mohamad Kamil Dato’ Shafie mengalu-alukan kedatangan pelancongan dari luar khususnya dari Singapura dan menjadikan bandar raya Ipoh sebagai ‘second home’.

“Negeri Perak merupakan negeri yang kaya dengan alam semula jadi. Pelbagai produk ekopelancongan telah diketengahkan dan pasti menarik minat rakyat Singapura untuk berkunjung selain dari kepelbagaian makanan-makanan dari berbilang bangsa.

“Pada bulan hadapan , Torism Perak akan ke Singapura bagi menjayakan satu koloberasi perniagaan. Jadi kesempatan itu kita akan digunakan untuk menjalinkan kerjasama dua hala dalam mempertingkatkan sektor pelancongan negeri ini”, ujarnya.