IPOH: Perak komited untuk memastikan komitmen di antara Majlis Sukan Negeri (MSN) Perak dan pelari pecut negara Muhammad Azeem Fahmi berterusan, meskipun dia sudah menginjak ke peringkat lebih tinggi.

Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan, Komunikasi dan Multimedia negeri, Khairul Shahril Mohamed berkata, ia penting bagi memastikan bakat kelahiran Perak itu tidak disia-siakan selain dapat mengharumkan nama negeri ini.

Katanya lagi, dengan itu pihaknya telah meminta MSN Perak untuk memperhalusi komitmen yang akan dilaksanakan dengan Azeem selepas ini.

"Walaupun dia akan berlatih atau melanjutkan pengajian di luar negara tetapi komitmen MSN Perak dengan Azeem mesti diteruskan.

"Bagaimanapun setakat ini saya tak boleh nak kata apa yang kita akan bagi. Tetapi komitmen kita, mungkin sebelum ini elaun mesti diteruskan.

"Kalau perlu penambahan elaun dan sebagainya kena pertimbangkan. Kita mahu Azeem berada bersama dengan kontinjen Perak," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Majlis Pelancaran Pertubuhan Usahawan Teknologi Inovasi dan Kreativiti Kinta (PUTIK), Program Sil dan Aplikasi Stopover di sini pada Khamis.

Dalam pada itu beliau secara peribadi menasihatkan supaya Azeem melanjutkan pelajaran di luar negara kerana lebih banyak peluang untuknya meningkatkan prestasi diri.

"Potensi anak muda ini cukup besar, selama ini puas kita cari bakat sepertinya. Jadi saya sudah cadangkan kepada ayahnya untuk Azeem belajar di Amerika Syarikat.

"Kerana di sana sains sukan dalam konteks olahraga lebih baik, peluang untuk dia menyerlah lebih besar," katanya lagi.

Pada Rabu, Kementerian Belia dan Sukan (KBS) mempertimbangkan untuk menaik taraf balapan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Gunung Rapat, Ipoh yang menjadi tempat jaguh pecut remaja negara itu.

Menterinya, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu berkata, ia adalah bagi membolehkan lebih ramai atlet berbakat dan berpotensi dalam sukan olahraga dapat dilahirkan pada masa akan datang.

Semalam Azeem, 18, menduduki tangga kelima dalam Kejohanan Olahraga Remaja Dunia di Cali, Colombia dengan catatan 10.14 saat (s).

Dia turut melakar pencapaian sensasi memecah rekod kebangsaan dengan kepantasan 10.09s, memadam rekod lama milik Khairul Hafiz Jantan 10.18s yang dilakukan pada Sukan Malaysia (Sukma) Sarawak 2016.

Foto- BERNAMA