IPOH - Menteri Besar Perak, Dato’ Seri Hj Saarani Mohamad telah melaksanakan kunjungan ke Kem Syed Putra, Batalion Kedua Rejimen Renjer Diraja (2 RRD) di sini ada Isnin lalu.

Ia bersempena Program Menteri Besar Bersama Askar (MEKAR) Road Tour Ipoh.

Terdahulu ketibaan Saarani disambut Panglima Briged Kedua Infantri Malaysia (2 Bgd), Brig Jen Azmurin Mat Khalib.

Beliau kemudiannya mengiringi Menteri Besar melakukan pemeriksaan kawalan kuarter.

Acara diteruskan dengan pertandingan menembak sasaran pada jarak 15 dan 20 meter serta menembak piring di Lapang Sasar Kem Syed Putra.

Seterusnya, MB Perak serta tetamu dibawa melawat Survival Village Sabah Rangers oleh pasukan 2 RRD.

Ia merangkumi pendedahan ilmu-ilmu hutan seperti pengenalan kepada jerat haiwan, tumbuh-tumbuhan, pokok perlindungan, pondok sementara dan cara-cara menghidupkan api secara tradisional.

Teknik ini dilakukan bagi menghadapi latihan medan yang berkonsepkan Counter Insurgency Warfare (CIW) di kawasan hutan.

Acara diteruskan lagi dengan tinjauan tapak pembinaan masjid yang baru dibina dan dua taman kanak-kanak yang bakal dibina dalam Kem Syed Putra, 2 RRD.

Dalam sesi ramah mesra bersama warga 2 Bgd, Menteri Besar mengucapkan penghargaan atas bantuan Tentera Darat (TD), 2 Bgd khasnya dalam usaha membantu kerajaan sepanjang pandemik COVID-19.

Ini termasuklah dalam menjayakan program vaksinasi kebangsaan terutamanya di kawasan terpencil termasuk perkampungan Orang Asli.