IPOH: Sebanyak 1,045 cerun dalam kategori amat berbahaya dikenal pasti di sepanjang Jalan Persekutuan di Semenanjung Malaysia.

Menteri Kanan Kerja Raya, Datuk Seri Fadillah Yusof berkata pihaknya sedang giat menjalankan pemantauan bagi mengelakkan sebarang kejadian tidak diingini, lebih-lebih lagi ketika musim tengkujuh.

"Musim tengkujuh memang kita (Kementerian Kerja Raya) buat persediaan dan menggerakkan pemantauan, bukan saja Jabatan Kerja Raya (JKR) tetapi juga konsesi.

"Kalau ada tanda-tanda (di cerun-cerun) langkah awal kita akan pasang kanvas dan sebagainya bagi menghalang runtuhan.

"Dan kalau berlaku runtuhan, memang sudah ada prosedur operasi standard (SOP) yang kita sediakan untuk pastikan keselamatan pengguna jalan raya dan tindakan segera untuk membersihkan kawasan itu," katanya.

Beliau berkata demikian ketika sidang media Program Jelajah FTRoadpedia Zon Timur 3.0 di Ibu Pejabat Jabatan Kerja Raya (JKR) Perak, di sini pada Sabtu.

Beliau berkata peruntukan bagi kerja-kerja penyelenggaraan dan pembaikan cerun di seluruh Malaysia membabitkan kos keseluruhan sebanyak RM220 juta.

"Untuk cerun di Semenanjung ialah RM160 juta, manakala di Sabah dan Sarawak RM40 juta dan kita mendapat tambahan lagi RM20 juta. Jadi jumlah keseluruhan sebanyak RM220 juta.

"Walaupun tidak mencukupi tetapi kita akan laksanakan berdasarkan apa saja peruntukan yang kita dapat," katanya lagi.

Dalam pada itu, beliau turut menyentuh isu pembukaan tanah yang begitu aktif di kawasan tanah tinggi, yang dikhuatiri akan mendedahkan risiko kepada pengguna jalan raya.

"Kalau kita tidak menguruskan keseluruhan khususnya di kawasan pembangunan tanah tinggi, maka ia akan mendedahkan (risiko) bukan saja kepada alam sekitar.

"Tetapi ia turut menjejaskan infrastruktur, sebab itu dalam perancangannya kita harapkan ada koordinasi, yang mana perancangan bersepadu dapat dilaksanakan termasuk penguatkuasaan.

"Penyalahgunaan tanah oleh pertanian haram misalnya, boleh dedahkan bahaya," katanya lagi.

Dalam program itu, beliau berkata hari ketiga FTRoadpedia Zon Timur 3.0 diteruskan dengan tinjauan di Jalan Simpang Pulai- Blue Valley, iaitu laluan lokasi pelancongan Cameron Highlands, Pahang.

Dalam jelajah dengan menaiki bas itu, beliau turut dibawa meninjau lokasi pembaikan cerun di Seksyen 44, di laluan berkenaan.