IPOH - Dato' Mohd. Yusri Hj. Hassan Basri kini dilantik sebagai Ketua Polis Perak yang baharu menggantikan Dato'Meor Faridalathrash Wahid yang bersara.

Kelmarin, majlis pemakaian pangkat Komisioner Polis (CP) telah disempurnakan Ketua Polis Negara, Tan Sri Acryl Sani sebelum mengambil alih jawatan tersebut daripada pemangkunya, Dato' Pahlawan Azizi Mat Aris.

Majlis diadakan di Mes Pegawai Kanan Polis Diraja Malaysia (PDRM), Ibu Pejabat Polis Kontinjen Perak.

Mohd. Yusri sebelum ini menggalas jawatan sebagai Timbalan Ketua Polis Pahang, telah diberi kepercayaan oleh kepimpinan PDRM untuk menerajui Polis Perak.

Beliau yang berasal dari Teluk Intan menyertai PDRM sejak 31 tahun lalu.

Berucap dalam majlis tersebut, Acryl Sani merakamkan ucapan syabas dan tahniah kepada Mohd Yusri atas pelantikan sebagai Ketua Polis Perak yang baharu.

“Pelantikan ini dibuat secara bijaksana setelah mempertimbangkan kredibiliti dan daya kepimpinan yang dimiliki oleh Dato’ Mohd Yusri untuk menggendong tanggungjawab yang diamanahkan ini”, ujarnya.

Beliau juga menzahirkan setinggi-tinggi penghargaan dan ucapan terima kasih kepada Azizi kerana telah melaksanakan tugas serta tanggungjawab dengan cemerlang sepanjang memangku jawatan Ketua Polis Perak.