IPOH: Perak merupakan negeri kedua tertinggi di Semenanjung Malaysia yang mencatatkan keluasan Tanah Rizab Melayu selepas Kelantan.

Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata daripada jumlah keseluruhan, Perak menyumbang kepada 19 peratus jumlah Tanah Rizab Melayu di Malaysia.

"Keluasan Tanah Rizab Melayu di Perak adalah seluas lebih 953,000 hektar atau 45.1 peratus berbanding 2.1 juta hektar daripada keluasan tanah di negeri ini.

"Data di negeri Perak menunjukkan terdapat 14,960.23 hektar Tanah Rizab Melayu telah dibatalkan dan telah pun digantikan semula dengan jumlah yang lebih tinggi.

"Iaitu seluas 27,255.92 hektar sepanjang tempoh selepas kemerdekaan di Malaysia.

"Ini menunjukkan bahawa negeri Perak, masih dan akan terus kompeten dalam memastikan mana-mana Tanah Rizab Melayu terutama yang telah diwartakan, tetap akan terpelihara," katanya.

Beliau berkata demikian dalam teks ucapan sempena Hari Tanah Negara Peringkat Negeri Perak 2022 dengan tema: Pemerkasaan Tanah Rizab Melayu, di sini pada Khamis.

Teks itu dibacakan oleh Pengerusi Jawatankuasa Perumahan, Kerajaan Tempatan dan Pelancongan Negeri Perak, Datuk Nolee Ashilin Mohamed Radzi.

Hadir sama Datuk Bandar Ipoh, Datuk Rumaizi Baharin dan Pengarah Tanah dan Galian Negeri Perak, Datuk Mohamad Fariz Mohamad Hanip.

Dalam pada itu, beliau berkata pemasukan maklumat berkaitan Pengisytiharan Kawasan Simpanan Melayu yang telah diwartakan akan dimasukkan ke dalam hak milik secara berterusan.

Saarani bagaimanapun berkata, semakan yang teliti perlu dibuat sebelum pemasukan maklumat berkaitan Kemasukan Rizab Melayu (KRM) ke dalam hak milik dibuat.

"Kerana kita harus ingat, terdapat hak milik yang telah diwartakan sebagai Tanah Rizab Melayu, tetapi berkemungkinan besar hakmilik tersebut dimiliki oleh bukan Melayu.

"Istilah Tanah Rizab Melayu ini hanya berkuat kuasa setelah pemilik asal memindah milik tanah tersebut kepada orang Melayu, maka, tanah tersebut secara automatiknya diisytiharkan sebagai Kawasan Simpanan Melayu, Pegangan Melayu," katanya lagi.

Ujar Saarani lagi, pemilikan dan pemegangan tanah merupakan antara isu yang sangat sensitif dalam mengekalkan kelangsungan sesuatu bangsa atau kaum di sesebuah negeri atau daerah.

Namun jelasnya tidak dinafikan, cabaran dalam membangunkan Tanah Rizab Melayu itu sendiri perlu dilihat dan dikaji.

Katanya ia penting bagi pertumbuhan ekonomi seperti permintaan terhadap pembangunan, industri, sektor pemakanan dan sebagainya turut dapat dinikmati oleh pemilik-pemilik tanah yang memiliki Tanah Rizab Melayu.

"Antara cabaran yang perlu dihadapi pada masa kini adalah bagaimana hendak memastikan generasi Melayu yang memiliki tanah yang diisytiharkan sebagai Simpanan Melayu ini akan terus dapat memanfaatkan tanah tersebut sebagai aset dan bukan lagi sebagai komoditi.

"Malah kini, orang Melayu sendiri kurang membeli tanah jika diisytiharkan sebagai Kawasan Simpanan Melayu kerana nilaiannya adalah lebih rendah berbanding tanah biasa dan pindah milik tanah juga adalah terhad kepada orang Melayu.

"Perbezaan keperluan dan perundangan dengan jabatan atau agensi luar juga perlu dilihat dan diharmonikan.

"Sebagai contoh, perubahan syer atau milikan syarikat yang boleh pada bila-bila masa membuat pindaan resolusi tetapi memiliki Tanah Rizab Melayu.

"Sedangkan pemegang-pemegang syer bukan lagi orang Melayu, cabaran seperti ini perlu diberi perhatian dalam usaha memastikan 50 peratus daripada keluasan tanah negeri perlu diwartakan sebagai Tanah Rizab Melayu selaras dengan apa yang termaktub di dalam 7 Wasiat Raja-Raja Melayu," katanya lagi.