IPOH - Raja Permaisuri Perak, Tuanku Zara Salim berkenan merasmikan bangunan Pusat Jagaan Harian BebeLEC khusus untuk pesakit demensia di Jalan Lang, Padang Tembak di sini Rabu lalu.

Baginda yang diiringi Yang Dipertua Badan Amal dan Usaha Isteri Negeri Perak, Datin Seri Aezer Zubin turut berkenan menandatangani plak sebelum melawat pusat berkenaan.

Hadir sama Timbalan Menteri Pendidikan, Senator Dato' Dr. Mah Hang Soon dan Pengerusi Pertubuhan Demensia Perak, Profesor Dr. Esther Ebenezer.

Baginda turut berkenan melancarkan buku panduan ringkas berkaitan demensia bertajuk ‘Adakah Sifat Pelupa Sesuatu Yang Normal?’.

Sementara itu menurut Esther Ebenezer, BebeLEC mula beroperasi pada Julai tahun lepas dan ini merupakan pusat demensia pertama dalam negara yang mempunyai taman terapeutik dan bilik rangsangan kognitif hutan maya.

Katanya, selain terapi muzik, pusat berkenaan menyediakan refleksologi, penjagaan kecantikan, salun serta gimnasium bagi menggalakkan kesihatan fizikal dan mental buat penghuni berusia 60 tahun ke atas yang menghidap penyakit itu.

"Penting untuk mereka yang mempunyai simptom awal mendapatkan diagnosis tepat untuk diberi rawatan yang diperlukan supaya menangani gejala dan mengekalkan kualiti hidup.

“Penyakit Alzheimer ialah penyakit neurodegeneratif atau penyusutan sel saraf otak yang berlaku secara berperingkat dan progresif.

"Iamerupakan punca utama demensia, iaitu pelbagai gejala atau sindrom yang timbul disebabkan oleh kemerosotan fungsi otak,” katanya.

Kini, pusat ini mempunyai 20 pesakit demensia berusia antara 60 hingga 93 tahun dengan dijaga beberapa sukarelawan.

Operasi pusat ini bermula pukul 8 pagi hingga 5 petang setiap hari.