IPOH: Kerajaan negeri meminta Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) mewujudkan satu prosedur operasi standard (SOP) bagi pemeriksaan berkala peralatan elektrik dan keselamatan bangunan di semua sekolah.

Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata, perkara itu penting bagi memastikan insiden kipas siling yang terjatuh menimpa seorang murid perempuan di Selama tidak berulang.

"Kita harap semua sekolah akan mengambil tindakan untuk sentiasa menyemak, memeriksa secara berkala semua kelengkapan elektrik.

"Bukan saja itu, termasuk bangunan sekolah sentiasa dalam keadaan selamat. Kadang-kadang bukan hanya kipas tetapi papan siling itu, mungkin kerana lama ia boleh jatuh.

"Dengan peristiwa begini saya harap ada satu SOP yang dibuat oleh KPM, Jabatan Pendidikan Negeri, Pejabat Pendidikan Daerah dan sekolah masing-masing," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita dalam sidang media selepas merasmikan Sambutan Hari Inovasi Peringkat Negeri Perak di Dewan Bankuet Bangunan Perak Darul Ridzuan di sini pada Rabu.

Dalam pada itu, Saarani berkata pemeriksaan berkala itu wajar dilakukan setahun atau enam bulan sekali, supaya semua peralatan dalam keadaan baik dan tidak memudaratkan.

"Iya, orang kata malang tidak berbau tetapi kalau kita buat semakan berkala, barangkali kita dapat mengesannya (peralatan yang rosak)," katanya lagi.

Semalam media melaporkan, seorang murid perempuan patah jari tangan kiri apabila kipas siling dalam kelasnya di sebuah sekolah rendah, di Selama terjatuh lalu mengenai mangsa.

Dalam insiden kira-kira jam 10 pagi itu, difahamkan tiga lagi murid perempuan berumur lapan tahun turut mengalami kecederaan ringan.

Dilaporkan juga, bapa mangsa yang hanya mahu dikenali sebagai Mohd, 32, berkata meja anaknya itu terletak betul-betul di bawah kipas berkenaan.

Selain patah jari, beliau mendakwa, anaknya juga mengalami beberapa kecederaan lain di bahagian dada akibat kejadian itu.

Mohd mendakwa, kipas yang terjatuh itu kelihatan uzur, berkarat dan tidak selamat untuk digunakan.