IPOH - Sebuah helikopter jenis AS 355 F2 milik sebuah syarikat swasta bersama seorang juruterbang dan lima penumpang dilaporkan mendarat cemas di Cameron Highlands petang tadi.

Kejadian sekitar pukul 1.15 petang itu dikatakan berlaku semasa pesawat dalam penerbangan dari Lojing,Gua Musang ke Ipoh.

Pesawat malang itu dikatakan terpaksa melakukan pendaratan kecemasan ekoran cuaca buruk.

Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) negeri Pahang memaklumkan, tiga daripada mereka dilaporkan selamat manakala tiga lagi cedera.

Kata kenyataan itu, mangsa melibatkan lima pegawai perubatan termasuk seorang doktor.

"Sepasukan anggota penyelamat dari Pahang dan Perak telah digerakkan ke lokasi untuk menjalankan operasi mencari dan menyelamat serta mengenal pasti lokasi helikopter," ujar kenyataan itu.

Sementara itu, memetik laporan media FMT, Ketua Polis Perak, Datuk Mohd Yusri Hassan Basri berkata, salah seorang mangsa dalam pesawat menghubungi pasukan keselamatan.

Menurutnya, berdasarkan maklumat awal, kejadian berpunca apabila helikopter dinaiki mereka mengalami masalah akibat cuaca buruk.

"Bagaimana pun, difahamkan ketika cuba melakukan pendaratan, helikopter tersebut tersangkut pada pokok di hutan tersebut.

"Setakat ini maklumat awal yang kami perolehi adalah semua mangsa selamat, hanya mengalami kecederaan namun tidak serius,"katanya.

Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM) turut mengesahkan menerima maklumat berhubung kemalangan udara membabitkan sebuah helikopter jenis Airbus AS 355 F2.