GOPENG: Perak memberi bayangan akan mengikut jejak langkah beberapa negeri lain untuk mengisytiharkan cuti umum pada 18 November ini bagi memudahkan rakyat pulang mengundi pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad bagaimanapun berkata, perkara itu hanya dapat diputuskan selewatnya Isnin depan, setelah mendapat pandangan daripada Penasihat Undang-undang Negeri (LA).

"Ya, kita sedang mempertimbangkan (untuk beri cuti sehari awal sebelum tarikh mengundi), cuma kita sedang memastikan siapa orang yang berkelayakan untuk umumkan.

"Sebab berbeza dengan negeri Selangor Menteri Besarnya, Dewan Undangan Negeri (DUN) belum bubar, di Perak ini adakah caretaker boleh mengumumkannya?

"Tetapi kecenderungan untuk kita memberi cuti untuk membolehkan orang ramai pulang ke kampung mengundi, kita boleh buat...cuma kita nak tengok siapa yang ada kelayakan untuk mengumumkannya, sama ada Setiausaha Kerajaan Negeri atau Menteri Besar," katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan pemberita sama ada Perak akan mengumumkan cuti umum pada 18 November ini.

Saarani ditemui pemberita selepas merasmikan Himpunan Solidariti Barisan Nasional (BN) Gopeng @ Sungai Rapat di Bilik Gerakan DUN N44, Kampung Meranti Changkat Larang, di sini pada Khamis.

Sebelum ini media melaporkan, beberapa negeri lain seperti Selangor, Negeri Sembilan dan Pulau Pinang telah mengisytihar cuti umum pada 18 November ini, bagi membolehkan pengundi pulang ke negeri masing-masing untuk mengundi keesokan harinya pada PRU15.