IPOH: Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad hari ini mengumumkan senarai penuh portfolio Ahli Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco).

Saarani berkata, senarai tersebut membariskan gabungan pemimpin berpengalaman serta muda termasuk mereka yang pernah menjadi Exco sebelum ini.

Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kota Tampan memegang portfolio Pengerusi Jawatankuasa Agama Islam, Kewangan, Keselamatan, Tanah, Sumber Asli, Perancangan Ekonomi dan GLC.

Sementara itu, ADUN Lintang, Datuk Mohd Zolkafly Harun sebagai Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Luar Bandar, Perladangan, Pertanian dan Industri Makanan.

ADUN Sungai Rapat, Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin memegang portfolio Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur, Tenaga, Air dan Pengangkutan Awam.

Dalam pada itu, ADUN Sungkai, A Sivanesan memegang portfolio Pengerusi Jawatankuasa Sumber Manusia, Kesihatan dan Hal Ehwal Masyarakat India.

ADUN Jalong, Loh Sze Yee sebagai Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Industri, Pelaburan dan Pembangunan Koridor.

Katanya lagi, ADUN Temengor Salbiah Mohamed pula sebagai Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita, Keluarga, Kebajikan Masyarakat dan Pembangunan Usahawan.

Selain itu, ADUN Aulong Teh Kok Lim sebagai Pengerusi Jawatankuasa Sains, Alam Sekitar dan Teknologi Hijau.

Saarani berkata, ADUN Teja Sandrea Ng Shy Ching pula memegang portfolio Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan.

ADUN Belanja, Khairudin Abu Hanipah memegang portfolio Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Pengajian Tinggi, Belia dan Sukan.

ADUN Tualang Sekah, Mohd Azlan Helmi Helmi memegang portfolio Pengerusi Jawatankuasa Komunikasi, Multimedia dan NGO.

Seterusnya, ADUN Pasir Bedamar, Woo Kah Leong sebagai Pengerusi Jawatankuasa Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi, Hal Ehwal Pengguna dan Kampung Baru Cina.

"Semua Exco sudah mengadakan mesyuarat buat kali pertama bagi membincang dan memutuskan beberapa perkara penting.
 
"Antaranya, mesyuarat bersetuju supaya Mesyuarat Pertama dan Mesyuarat Kedua Tahun Pertama Dewan Negeri Ke-15 Perak Darul Ridzuan akan diadakan pada 19 Disember ini bagi pembentangan Bajet 2023," katanya dalam kenyataan pada Rabu.

Selasa lalu, kesemua 10 ADUN yang terdiri daripada wakil rakyat Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH) itu telah mengangkat sumpah jawatan di hadapan Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah di Istana Iskandariah Kuala Kangsar.