IPOH - Dianggarkan 778,000 kediaman terlibat dalam Banci 2020 di Perak merangkumi hampir 2.6 juta penduduk.

Menurut kenyataan media yang dikeluarkan hari ini oleh Setiausaha Kerajaan Negeri Perak, Datuk Ahmad Suaidi Abdul Rahim, Banci 2020 dijalankan secara dua fasa. 

"Fasa pertama bermula 7 Julai hingga 30 September 2020 menggunakan kaedah pembancian atas talian iaitu e-Census dan telefon berikutan isu semasa Pandemik COVID-19.

"Diikuti fasa kedua yang bermula pada 7 hingga 24 Oktober 2020 menggunakan kaedah temubual bersemuka dan lawatan secara menyeluruh dari rumah ke rumah. 

“Bagi pelaksanaan pembancian fasa pertama yang melibatkan pengisian e-census, Jabatan Perangkaan Malaysia sedang membuat penghantaran poskad ke rumah atau tempat kediaman terpilih di seluruh negara bermula 6 hingga 24 Julai 2020. 

“Dianggarkan 210,000 rumah terpilih di Perak yang akan menerima poskad tersebut daripada anggota Jabatan Perangkaan Malaysia Negeri Perak”, katanya.

“Data Anda Masa Depan Kita” merupakan tema Banci 2020 menjurus kepada dapatan banci yang komprehensif merangkumi keperluan input pemantauan Agenda Pembangunan Mapan 2030.

Menurutnya, pengisian secara atas talian bermula 7 Julai sehingga 30 September 2020 boleh dibuat melalui pautan https://ecensus.mycensus.gov.my.

Isi rumah yang tidak menerima poskad daripada Jabatan Perangkaan Malaysia, turut digalakkan membuat pra pendaftaran di pautan tersebut untuk membuat pengisian banci secara atas talian. 

“Semua penjawat awam di Perak diminta agar mengisi maklumat Banci 2020 secara atas talian melalui kaedah e-Census. Mengikut pengisian perjawatan di Perak, terdapat sejumlah 13,313 orang penjawat di agensi Kerajaan Negeri pada masa kini.

“Untuk sebarang maklumat lanjut Banci 2020, Jabatan Perangkaan Malaysia menyediakan talian hotline Banci 1-800-88-7720. Manakala talian hotline Banci bagi penduduk negeri Perak ialah 1-800-88-5032. 

“Warga Perak juga boleh melayari portal banci iaitu www.mycensus.gov.my atau media social @MyCensus2020, " katanya.

 

 

 

 

Pengarah Jabatan Perangkaan Negeri Perak, Puan Rafliza Ramli menyampaikan poskad Banci 2020 kepada YB Setiausaha Kerajaan Negeri Perak.