IPOH – Digital Perak Corporation Holdings (DPCH) mengambil inisiatif membantu usahawan di Perak dengan menawarkan ruang pejabat (co working space) bagi memudahkan perniagaan dan komunikasi dua hala.

Ketua Pegawai Eksekutif DPCH, Meor Rezal Fitri Datuk Meor Redwan berkata, inisiatif ini bertujuan merancakkan kembali sektor ekonomi Negeri sebagai satu langkah pemulihan pasca pandemik Covid-19.

“Kerjasama strategik ini dicapai untuk menggalakkan penggunaan ruang pejabat kepada usahawan kecil tempatan, freelancer, Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) dan korporat yang disediakan syarikat di bawah Kerajaan Negeri  dengan kadar bayaran yang berpatutan,” katanya selepas Majlis Pertukaran Memorandum Persefahaman (MOU) antara Digital Perak dan Perak Team Work Sdn Bhd (PTSB).

Kemudahan ruang pejabat tersebut disediakan di Hub Inovasi dan Multimedia (HiM), Mydin Meru Raya serta di kafe Bean Here! Coffee & Ice Cream Co and Communal Workspace – The Space, Aras 11, Bangunan Perak Techno Trade Centre (PTTC) di Meru Raya.

Program ini telah dirasmikan oleh Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu secara maya melalui siaran video langsung dengan teknologi kolaborasi digital.

PTSB diwakili oleh Ketua Eksekutif Kumpulan Perbadanan Kemajuan Negeri Perak (PKNP), Mohd Ariff Yeop Ishak.