IPOH - Dua kes baharu Covid-19 membabitkan adik beradik dari Sitiawan dilaporkan hari ini selepas 10 hari Perak diisytiharkan bebas daripada kes aktif wabak tersebut. 

Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri, Datuk Dr Ding Lay Ming dalam kenyataan ringkasnya berkata, dua beradik masing-masing berusia 29 dan 30 tahun itu adalah warga tempatan. 

Menurutnya, kes pertama dikesan melalui saringan kesihatan sebelum kembali bekerja.

"Manakala, kes kedua dikesan melalui aktiviti pengesanan kontak rapat bagi kes pertama. 

"Kedua-dua kes tiada bergejala dan punca jangkitan masih dalam siasatan," katanya. 

Sebelum ini, Perak mencatatkan 253 kes jangkitan positif secara keseluruhan membabitkan enam kematian.

Bagaimanapun, kesemua 247 orang telah sembuh dan dibenarkan untuk pulang.