IPOH 10 Mei - Malaysia berada pada tangga keempat daripada 105 negara dalam kepuasan rakyat terhadap kerajaan dalam menangani wabak Covid-19. 

Manakala hampir seluruh mukim di seluruh negara atau 94.4 peratus berstatus hijau dengan 0 kes terbaru jangkitan sepanjang dua minggu lalu manakala selebihnya adalah zon kuning dan merah.

Bagaimana pun tegas Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, Covid-19 masih perlu dibimbangi sebagai musuh senyap yang tidak kelihatan dan boleh menyerang pada bila-bila masa.

"Walaupun kepatuhan rakyat sepanjang PKPB amat baik namun kita masih perlu berhati-hati.

"Penduduk zon merah kurangkan aktiviti di luar rumah manakala penduduk zon hijau pula tidak perlu ke sana sini. Virus ini adalah senyap. Amalkan norma baharu.

"Jika ada peningkatan kes yang ketara, maka Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan akan dilaksana," ujarnya.

Beliau berkata demikian semasa menyampaikan Perutusan Khas Perdana Menteri sebentar tadi.

Menurut Perdana Menteri lagi, pelaksanaan PKPB sejak 4 Mei lalu menyaksikan seramai 6.64 juta pekerja atau kira-kira 43.6 peratus telah kembali bekerja.

Angka ini dijangka meaningkat dalam tempoh akan datang sekali gus membolehkan aktiviti ekonomi meningkat lantas memajukan kembali ekonomi negara.

Dalam pada itu, Perdana Menteri turut memberitahu, Menteri Kewangan telah bersetuju untuk melanjutkan tempoh rayuan Bantuan Prihatin Nasional (BPN) sehingga 31 Mei.

"Saya diberitahu ada dalam kalangan rakyat yang tidak menerima BPN atas sebab seperti maklumat diri tidak dikemas kini termasuk golongan yang diberhentikan kerja.

"Untuk itu rayuan boleh dikemukan secara online atau datang ke pejabat Lembaga Hasil Dalam Negeri terdekat.

"Sehingga kini seramai 10.6 juta penerima dibantu BPN melibatkan peruntukan sebanyak RM11 bilion," ujar Perdana Menteri.